Lelaki biak 19 anjing secara haram didenda S$9,000

(Gambar: iStock)
SINGAPURA: Seorang pencinta anjing menyimpan 19 ekor anjing di rumah teresnya dan terlibat dalam pembiakan haram, menjual seekor anak anjingnya pada harga S$9,500.
Goh Chong Tse, 37 tahun, pada Rabu (31 Mei) didenda S$9,000 atas kesalahannya di bawah Peraturan Haiwan dan Burung (Pelesenan dan Kawalan Anjing).
Dia mengaku bersalah atas lima tuduhan, termasuk menggunakan rumahnya sebagai tempat menternak anjing tanpa lesen, memiliki anjing tanpa lesen dan menyimpan lebih daripada tiga ekor anjing di sebuah tempat yang bukan merupakan sebuah kedai haiwan peliharaan atau penternakan anjing yang berlesen.
Lagi tujuh tuduhan diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Goh tinggal bersama isterinya di 11 Seletar Road antara 2019 hingga sekitar September 2021.
Antara 2019 hingga Julai 2020, pasangan itu memiliki empat anjing - dua anjing corgi bernama Nutella dan Waffles dan dua anjing shiba inu bernama Milktea dan Pudding.
Mereka membeli Nutella dan Milktea daripada sebuah kedai haiwan berlesen, manakala Pudding pula dibeli daripada seorang penjual di wadah Gumtree.
Waffles merupakan anjing liar yang dipungut isteri Goh. Goh mendaftar lesen bagi Waffles di bawah namanya.
Pada Disember 2020, Goh mula berkenalan dengan seorang wanita bernama Jermaine Ang. Pasangan itu bersetuju untuk membiak Waffles dengan anjing jantan Ang, Bailey.
Mereka bersetuju bahawa Waffles akan menjalani pensenyawaan buatan, dengan Ang membiayai prosedur itu. Mereka turut bersetuju bahawa Ang akan mengongsi 30 peratus kos keseluruhannya dan menjaga salah seekor anak anjing yang dilahirkan.
Waffles melahirkan enam anak anjing pada lewat Februari 2021. Ang menyimpan seekor anak anjing, manakala Goh dan isterinya pula menyimpan empat.
Anak anjing yang terakhir dijual pada harga S$9,500.
Pada 9 Februari 2022, pegawai Lembaga Taman Negara (NParks) mengambil tindakan menyusuli maklumat yang diterima dan memeriksa rumah Goh.
Goh pada waktu itu sudah berpindah ke sebuah rumah teres di Parry Road. Sewaktu pemeriksaan tersebut, para pegawai NParks merampas 19 anjing - kebanyakannya adalah anjing corgi.
Para pegawai itu turut mendapati Goh tidak mempunyai lesen yang sah untuk memiliki tiga ekor anjing, iaitu Mantou, Ruffles dan Truffles.
Pihak pendakwa mengusulkan denda S$9,400 buat Goh. Beliau menarik perhatian bahawa kesemua anak anjing itu mengalami lelehan, kesan pada bahagian mata akibat penghasilan berlebihan air mata dan kesihatan gigi yang kurang baik.
Kulit kebanyakan anak anjing itu diselaputi najis dan hampir separuh daripadanya mengalami keradangan pada gusi, tambahnya.
Peguam bela Amarjit Singh meminta agar denda dikurangkan kepada S$6,000.
Hakim membenarkan Goh untuk membayar dendanya secara ansuran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.