Skip to main content

Singapura

Lelaki berusia 72 tahun dipenjara kerana tikam jiran

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki berusia 72 tahun dipenjara kerana tikam jiran

Gambar hiasan. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 17 Jul 2025 10:31PM Dikemas Kini : 17 Jul 2025 10:33PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 72 tahun dipenjarakan selama setahun pada Khamis (17 Jul) kerana menikam jirannya, yang meninggal dunia akibat penyakit jantung kira-kira dua jam kemudian.

Lim Tee Tee mengaku bersalah atas satu tuduhan mencederakan Encik Chua Kin Tong dengan sengaja, di blok mereka di Lavender pada 22 Dis 2024. Mangsa ketika itu berusia 69 tahun.

Encik Chua mengalami kecederaan di kepala, muka, leher, lengan dan kaki selepas Lim menikamnya menggunakan pisau dengan bilah sepanjang 37cm.

Bedah siasat mendapati kecederaan tersebut tidak membawa maut, dan punca kematian Encik Chua adalah penyakit jantung iskemia, kata Timbalan Pendakwa Raya Joseph Gwee.

Satu lagi tuduhan bertindak secara melulu hingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa kedua, iaitu seorang jiran berusia 66 tahun, dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman ke atas Lim.

Sekitar jam 11.20 pagi pada hari kejadian, Lim dalam perjalanan pulang selepas membeli makanan.

Semasa Lim keluar dari lif di tingkat lapan Block 805, King George's Ave, dia berlanggar dengan Encik Chua, yang cuba masuk pada masa yang sama.

Kedua-dua lelaki itu tidak berpuas hati dengan kejadian itu tetapi meneruskan perjalanan masing-masing, dan Lim kembali ke flatnya.

Encik Chua kemudian memanggil mangsa kedua untuk menemaninya dan mereka pergi ke flat Lim.

Encik Chua menegur Lim mengenai perlanggaran tersebut, dan pertengkaran menjadi buruk apabila dia memukul Lim dengan kayu.

Lim berlari ke dapur dan mengambil pisau. Kedua-dua lelaki itu kemudian bergelut di koridor.

Lim menikam Encik Chua beberapa kali dengan pisau. Jiran yang satu lagi memegang Lim dan meminta mereka berhenti, tetapi beliau turut cedera di bahagian lengannya.

Encik Chua akhirnya pergi dan menuju ke lobi lif, manakala Lim dan jiran yang satu lagi kekal di tingkat lapan.

Sekitar jam 11.30 pagi, pegawai polis yang sedang meronda di tingkat bawah menemui Encik Chua yang keluar dari lif dengan kecederaan teruk di kepala.

Encik Chua memberitahu pegawai tersebut bahawa Lim menyerangnya dengan pisau, sebelum dia rebah. Mangsa dibawa ke hospital, di mana dia diisytiharkan meninggal dunia pada pukul 1.20 petang.

Sementara itu, di tingkat lapan, polis menemui kesan titisan darah yang menghala ke flat di mana Lim berada bersama jirannya.

Kedua-dua lelaki itu ditahan di flat tersebut dan diberi rawatan perubatan. Mereka kemudian dibawa ke hospital, dan Lim ditangkap pada hari yang sama.

Lim juga mengalami luka dan patah tangan.

Penilaian psikiatri mendapati bahawa dia mengalami gangguan kemurungan berterusan, yang ada sedikit kaitan dengan kesalahan yang dilakukannya.

"Walau bagaimanapun, dia tetap sedar secara kognitif bahawa adalah salah baginya untuk membawa keluar pisau, dan memilih pisau sebagai senjata untuk mempertahankan diri," kata Encik Gwee.

Lim juga didapati waras dan layak untuk membuat pengakuan di mahkamah.

Pihak pendakwa raya memohon hukuman penjara 14 hingga 17 bulan ke atas Lim. Menurutnya, sekiranya Encik Chua tidak meninggal dunia, dia mungkin memerlukan pembedahan bagi kecederaan yang dialaminya.

Encik Gwee juga berkata bahawa walaupun Lim tidak memulakan pergaduhan, dia bertindak balas secara keterlaluan.

Hukuman bagi kesalahan menyebabkan kecederaan secara sengaja adalah penjara sehingga tujuh tahun selain denda, sebatan atau kedua-duanya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita