Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki bersubahat dengan rakan khidmat kerahan terima rasuah S$207,000 untuk projek SIA

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki bersubahat dengan rakan khidmat kerahan terima rasuah S$207,000 untuk projek SIA

Pesawat Singapore Airlines di Lapangan Terbang Changi di Singapura pada 13 Mei 2022. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Seorang lelaki bersubahat dengan rakannya yang dikenalinya ketika menjalankan Khidmat Kerahan (NSmen), yang bertugas dengan Singapore Airlines (SIA), untuk mendapatkan rasuah lebih dari S$207,000 dari seorang vendor untuk projek SIA.

Rex Zhang Jiahao, 38 tahun, mengaku bersalah pada Isnin (14 Ogos) atas satu pertuduhan bersubahat menerima suapan di bawah Akta Pencegahan Rasuah. Dua lagi pertuduhan dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu bahawa Zhang adalah seorang pereka hiasan dalaman bebas, mengenali rakannya yang dituduh, Lionel Low Jun Jie, 36 tahun, ketika menjalankan tugas Khidmat Kerahan (NSmen).

Low merupakan penolong pengurus pembangunan hartanah di SIA, dan menguruskan projek penambahbaikan sementara buat syarikat penerbangan itu.

Low sedang mencari kontraktor pembangunan buat sebuah projek SIA, termasuk pembinaan bangunan dua tingkat untuk dijadikan bilik darjah untuk tujuan latihan.

Low meminta Zhang memberitahu pihak kontraktor yang dia ada kontak SIA yang tidak didedahkan identiti Low, bagi mendapatkan kontrak tersebut.

Ini agar Zhang boleh mendapatkan komisyen daripada kontraktor, tambah Low.

Zhang bersetuju dan kedua-duanya berkata akan berkongsi komisyen itu sama rata.

Zhang berjaya mendapatkan seorang kontraktor, Joseph Ang Kok Leng, 51 tahun, pengurus LIN ID dan LINA Builders, yang berminat namun tidak pasti jika dia dapat memenuhi syarat-syarat SIA.

Zhang kemudian memberitahu Ang dia boleh membantunya untuk layak bagi projek itu dengan memberitahu kontaknya di SIA.

DAKWAAN BERSUBAHAT

Untuk membantu Ang menyediakan dokumen untuk bidaan, Zhang memberinya maklumat sulit tentang projek itu yang didapatkannya daripada Low. Ia termasuk bajet S$2.5 juta untuk projek bilik darjah tersebut, serta jangkaan garis waktu dan tempoh menyelesaikan projek.

Sebelum Ang menyerahkan tawaran kerja kepada SIA, dia memberikannya kepada Zhang yang membincangkannya dengan Low sebelum memberitahu Ang untuk mengubahnya.

Ang menawarkan Zhang lima peratus daripada kontrak bernilai S$1.4 juta itu sebagai komisyen.

Projek itu akhirnya dianugerahkan kepada syarikat Ang pada harga S$2.2 juta, termasuk yuran pembinaan S$1.5 juta dan kos-kos lain.

Ang memberikan Zhang komisyen S$177,000 dan kemudian lagi S$30,000 atas bantuannya untuk mendapatkan kontrak membekalkan perabot untuk bilik-bilik darjah itu.

SIA membayar syarikat LIN ID secara berperingkat dan Ang memberikan Zhang sejumlah S$207,535 sebagai rasuah, menerusi enam pembayaran.

Zhang membahagikan wang itu secara sama rata dengan Low, seperti yang dijanjikan.

Zhang mendakwa ia melakukan demikian kerana perlukan wang untuk majlis perkahwinannya dan kos renovasi rumah barunya.

Zhang akan kembali ke mahkamah untuk dijatuhi hukuman pada September.

Kes ke atas Low dan Ang masih sedang diproses.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan