Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki bersenjatakan pisau ditembak polis selepas meluru ke arah pegawai di luar pusat polis Clementi

Lelaki berkenaan ditembak dan diberkas polis di luar Pusat Polis Kejiranan Clementi.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki bersenjatakan pisau ditembak polis selepas meluru ke arah pegawai di luar pusat polis Clementi

Petikan skrin video yang menunjukkan para pegawai polis mengacu senjata api ke arah lelaki tersebut. (Gambar: Facebook/sgkaypohlah)

Diterbitkan : 18 Feb 2022 07:40AM Dikemas Kini : 18 Feb 2022 02:09PM

SINGAPURA: Seorang lelaki bersenjatakan pisau ditembak dan diberkas polis di luar Pusat Polis Kejiranan Clementi, dedah polis pada awal pagi Jumaat (18 Feb).

Video insiden itu yang disebarkan di media sosial menunjukkan seorang lelaki melintas jalan raya ke arah pusat polis di Clementi Ave 5, dengan apa yang kelihatan seperti pisau dalam tangannya sementara para pegawai polis mengacu senjata api ke arahnya.

Lelaki itu kemudian meluru ke arah salah seorang daripada para pegawai polis itu, di mana das tembakan kuat kemudian kedengaran dan lelaki itu jatuh ke lantai. Para pegawai kemudian segera mengelilingi lelaki berkenaan.

"Polis menangkap seorang lelaki berusia 49 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan dengan sengaja dengan menggunakan senjata berbahaya," menurut polis dalam kenyataannya.

Menurut polis, lelaki itu dituduh menyerang seorang lelaki berusia 41 tahun dengan sebilah pisau di Blok 420A Clementi Avenue 1 sekitar pukul 8.40 malam pada Khamis. Mangsa tersebut, yang cedera di lengan dan pergelangan tangan kanannya, dibawa ke hospital dalam keadaan sedar.

Siasatan awal menunjukkan mangsa dan penyerang tidak saling mengenali antara satu sama lain.

ANCAMAN KEPADA POLIS

Selepas serangan itu, suspek kemudian menaiki teksi ke Divisyen Polis Clementi dan berdiri di luar balai polis dengan pisau tersebut. Lelaki itu juga dilihat memekik dalam keadaan tidak keruan apabila para pegawai bertugas menghampirinya.

"Meskipun sudah mendapat arahan berulang daripada para pegawai untuk melepaskan pisau itu daripada genggamannya, lelaki berkenaan enggan mematuhi amaran lisan itu dan menyerang ke arah salah seorang daripada pegawai itu dengan pisau," menurut polis. "Disebabkan wujud ancaman terhadap pegawai itu, beliau kemudian melepaskan das tembakan ke arah lelaki itu dengan pistolnya."

Lelaki terbabit, yang kemudian ditahan para pegawai, mengalami kecederaan pada lengan kirinya daripada tembakan itu."Dia dibawa ke hospital dalam keadaan sedar dan kini dalam keadaan stabil," jelas polis.

"Pegawai itu menilai bahawa nyawanya diancam lelaki bersenjatakan pisau itu dan kemudian melepaskan tembakan," menurut Penolong Pesuruhjaya Polis Marc E, komander Divisyen Polis Clementi.

"Para pegawai memastikan situasi yang membawa ancaman itu segera dikawal dengan tiada bahaya kepada orang awam."

Suspek berusia 49 tahun itu akan didakwa pada Jumaat atas kesalahan-kesalahan ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya. Atas kesalahan ugutan jenayah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau turut didenda, atau turut disebat.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan