Lelaki bersenjata pisau yang ditembak polis didakwa buat ugutan jenayah, sebabkan kecederaan
SINGAPURA: Seorang lelaki bersenjatakan pisau yang ditembak polis di luar Divisyen Polis Clementi didakwa melakukan ugutan jenayah dan sengaja menyebabkan kecederaan.
Soo Cheow Wee, 49 tahun, dikenakan tuduhan di Mahkamah Pendaftaran Jenayah pada Jumaat (18 Feb) dan diarah ditahan reman bagi pemerhatian psikiatri.
Dia dituduh mengelar seorang lelaki berusia 41 tahun berhampiran Blok 420A Clementi Avenue 1 pada kira-kira 8.40 malam Khamis(17 Feb). Kira-kira 15 minit kemudian, dia didakwa meluru ke arah seorang lelaki 20 tahun di luar Divisyen Polis Clementi dengan mengacukan pisau.
Menurut kenyataan polis sebelum ini, Soo tidak mengenali mangsa. Polis dimaklumkan mengenai serangan itu, dan Soo kemudian menaiki teksi ke Divisyen Polis Clementi.
Dia dilihat memegang sebilah pisau dan berdiri di luar balai polis, menurut kenyataan polis.
Pegawai polis yang bertugas menghampiri Soo yang dilihat memekik tidak menentu. Walaupun berulang kali diminta untuk melepaskan pisau itu, Soo didakwa meluru ke arah salah seorang pegawai polis dengan mengacukan pisau.
"Memandangkan terdapat ancaman yang pasti terhadap dirinya, pegawai itu melepaskan satu das tembakan ke arah lelaki itu dengan pistolnya," menurut polis dalam kenyataan mereka sebelum ini.
Soo dibawa ke hospital dengan kecederaan di lengan kirinya dan berada dalam keadaan stabil.
Dia akan kembali ke mahkamah bulan depan.
Jika disabit kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan dengan pisau, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda, dirotan, atau gabungan hukuman ini.
Bagi kesalahan melakukan ugutan jenayah, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.