Lelaki bersenjata meninggal dunia setelah ditembak polis di Bendemeer
(Gambar: Try Sutrisno Foo)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 64 tahun yang bersenjatakan sebilah pisau meninggal dunia pada Rabu (23 Mac) setelah ditembak oleh polis berdekatan Blok 33 Bendemeer Road.
Ini setelah lelaki tersebut enggan menyerahkan senjatanya meskipun diberi amaran berulang kali dan direnjat tiga kali, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).
Lelaki itu meninggal dunia akibat luka tembakan pada bahagian dadanya.
Polis menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang lelaki itu pada pukul 4.07 petang setelah dia dilaporkan memekik dan bersenjatakan pisau sambil berjalan berhampiran blok itu.
Apabila dihampiri polis, lelaki itu keluar daripada sebuah unit dan menghayunkan pisau tersebut ke arah para pegawai.
"Para pegawai memberi arahan kepada lelaki itu supaya meletakkan senjata, namun dia enggan mematuhi arahan, meskipun diberikan amaran beberapa kali," menurut SPF.
"Lelaki itu kemudian menghampiri para pegawai dengan pisau tersebut. Para pegawai polis kemudian menggunakan senjata renjatan elektrik dengan menembak ke arah lelaki itu dan berundur agar terdapat jarak antara mereka dengan lelaki berkenaan. Namun, dia masih menghampiri para pegawai," tambah SPF.
"Oleh kerana keselamatan para pegawai diancam, salah seorang pegawai menggunakan pistolnya untuk menembak ke arah lelaki itu dan dia rebah."
Para pegawai melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) pada lelaki itu dan kemudian dia dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Lelaki tersebut disahkan meninggal dunia pada pukul 5.13 petang.
Siasatan awal menunjukkan bahawa lelaki tersebut "berjalan naik turun" bloknya sambil memegang pisau tersebut, menurut polis.
Polis menambah, lelaki itu menghampiri seorang pelajar berpakaian seragam, tetapi pelajar itu berjaya melarikan diri.
Lelaki tersebut ialah seorang pesalah dadah yang dikenali dan diburu oleh Biro Narkotik Pusat (CNB), menurut polis, sambil menambah bahawa peralatan dadah ditemui di unitnya.
Lelaki itu juga sedang disiasat kerana didakwa bertindak secara melulu dan sengaja menyebabkan seorang pekerja khidmat awam cedera, sekali gus mencegahnya daripada melaksanakan tugas, menurut SPF.
Siasatan polis sedang dijalankan dan siasatan koroner dijangkakan.
Ini merupakan kali kedua dalam tempoh kira-kira sebulan, di mana seorang pegawai polis menembak seseorang sewaktu bekerja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.