Lelaki berdepan tuduhan cubaan membunuh susuli serangan pisau di Kallang Wave Mall
Seorang lelaki berusia 26 tahun akan didakwa pada Selasa (15 Jul) atas cubaan membunuh seorang wanita berusia 29 tahun di Kallang Wave Mall, yang terletak bersebelahan Stadium Negara.
Pusat beli-belah Kallang Wave Mall. (Gambar: Calvin Oh)
Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan medianya mendedahkan bahawa pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu pada Isnin, pukul 1.25 pagi.
Siasatan awal mendapati bahawa lelaki tersebut didakwa menyerang wanita itu dengan menggunakan pisau.
Lelaki itu "dilucutkan senjata dan ditahan orang awam sebelum diberkas oleh pegawai polis,” menurut SPF.
Mediacorp difahamkan bahawa lelaki dan wanita itu tidak mempunyai sebarang hubungan.
Wanita tersebut dibawa ke hospital dan sudah menerima rawatan bagi kecederaannya. Keadaan beliau kini stabil, tambah polis.
Pihak polis menyatakan bahawa mereka akan memohon perintah mahkamah untuk menahan reman lelaki itu bagi penilaian psikiatri.
Kesalahan melakukan cubaan membunuh yang menyebabkan kecederaan terhadap mana-mana individu membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan, atau penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.