Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki belum divaksin dihukum penjara 26 minggu; berbohong untuk masuk ke pusat penjaja Redhill, tumbuk pegawai NEA

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki belum divaksin dihukum penjara 26 minggu; berbohong untuk masuk ke pusat penjaja Redhill, tumbuk pegawai NEA

Gambar fail Pusat Penjaja Redhill.

SINGAPURA: Walaupun belum divaksin terhadap COVID-19, Chua Soon Hean memasuki Pusat Penjaja Redhill tahun lalu dengan berbohong bahawa dia terlupa membawa token  TraceTogether dan hanya mahu membeli makanan untuk dibawa pulang. 

Chua yang tidak mempunyai pekerjaan tetap kemudian membeli makanan dan minuman keras, dan duduk bersama beberapa kawan dan temanitanya. 

Apabila pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) melakukan pemeriksaan dan bertanya bagaimana Chua dapat memasuki pusat itu, dia menjadi ganas dan menumbuk dua pegawai itu sambil mengajak mereka untuk bergaduh. 

Chua dikenakan hukuman penjara selama 26 minggu, atau kira-kira enam bulan, pada Khamis (24 Feb) atas tingkah lakunya. 

Di bawah langkah COVID-19 sekarang, individu tidak divaksin dan belum lengkap divaksin tidak dibenarkan makan di pusat penjaja dan pusat makanan lain. Mereka hanya boleh membeli makanan untuk dibawa pulang. 

Warga Singapura berusia 54 tahun itu sudah ditahan reman sejak bulan lalu. Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan kerana  mencederakan seorang pekerja awam dengan sengaja dan satu lagi tuduhan kerana memasuki pusat penjaja walaupun dia belum divaksin. 

Ia merupakan pendakwaan pertama bagi kesalahan memasuki pusat penjaja di bawah Akta Penyakit Berjangkit, Peraturan 2021 (Kawalan dan Keselamatan Akses COVID-19). 

Dua tuduhan serupa, termasuk tidak memakai pelitup di tempat awam, juga diambil kira semasa hukuman dijatuhkan. 

Bagi kesalahan memasuki pusat penjaja dan menjamu selera di pusat makanan tanpa status vaksinasi yang diterima, Chua boleh dipenjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga S$5,000. 

Bagi kesalahan mencederakan pekerja awam dengan sengaja untuk menghalangnya melaksanakan tugas, Chua boleh dipenjara sehingga tujuh bulan dan didenda atau disebat. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan