Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki bakar tilam untuk bunuh pepijat, pembantu di tingkat atas maut akibat asap

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Yakin bahawa dia melihat pepijat di katil, seorang warga emas lelaki cuba menyembur racun serangga untuk membunuhnya. Namun apabila racun serangga itu tidak membantu, beliau bertindak membakar tilamnya.

Kebakaran itu kemudian menjejas seluruh unit flatnya, sehingga asap kebakaran tersebut memasuki flat di tingkat atas dan menyebabkan seorang pembantu rumah maut.

Chia Gek Yong, 73 tahun, kelihatan menangis sedang dia sabit kesalahan pada Rabu (16 Ogos) atas tuduhan menyebabkan kematian kerana melakukan tindakan terburu-buru yang tidak membawa kepada kesalahan bunuh tanpa niat. Dia akan dihadapkan semula ke makhamah pada 11 September untuk dijatuhkan hukuman.

Pihak makhamah mendengar bahawa pada hari kejadian, Chia mengalami gangguan bipolar yang berulang. Ini menyebabkannya mengalami gejala-gejala seperti memiliki lebih banyak tenaga dan halusinasi, yang menyebabkannya bertindak secara berbahaya.

RENTETAN INSIDEN

Pada awal pagi 29 Januari 2022, Chia bangun dari katilnya yang terletak di ruang tamu flat yang terletak di tingkat 10 dan dikongsi dengan empat penghuni lain.

Atas sebab ingin membunuh pepijat yang dikatakan berada di katilnya, Chia menggunakan beberapa tin racun serangga untuk menyembur katilnya itu.

Walau bagaimanapun, Chia berkata bahawa pepijat itu masih belum mati dan menggunakan beberapa pemetik api untuk membakar tilamnya, kata Timbalan Pendakwa Raya R Arvindren. Apabila kebakaran itu mula merebak, Chia cuba menjirus air untuk meredakannya, tetapi gagal.

Dia kemudian meninggalkan flatnya.

Empat penghuni lain turut keluar daripada flat itu apabila dikejutkan oleh asap itu.

Salah seorang daripada mereka cuba untuk memadamkan kebakaran itu dengan menggunakan alat pemadam api yang diambil dari sebuah kedai kopi yang berhampiran. Namun, dia tidak berjaya kerana api itu mula menyambar seluruh unit.

Polis dan para pegawai Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) segera tiba dan mendapatkan semua penduduk flat itu untuk berpindah keluar.

Anggota bomba berdepan dua masalah: Penghuni unit telah menyimpan pelbagai barangan yang membolehkan kebakaram itu semakin marak, dan terdapat juga kebocoran gas.

Chia kemudiannya mengaku kepada pegawai polis di tempat kejadian bahawa dialah yang memulakan kebakaran itu.

Dia ditangkap pada hari yang sama.

Semasa usaha memadam kebakaran dijalankan, asap daripada kebakaran itu menjadi semakin tebal dan memasuki unit di tingkat atas.

Anggota bomba terpaksa memecah masuk ke dalam unit tingkat 11 yang terkunci selepas dimaklumkan tentang seorang penghuni yang tidak ditemui semasa penduduk dipindahkan.

Mereka menemui seorang wanita, pembantu rumah Koimatun Achmad Ali berusia 48 tahun, yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik bersebelahan dapur.

Dia dibawa ke hospital dalam keadaan hidup, tetapi meninggal dunia beberapa jam kemudian pada kira-kira jam 10.30 malam.

Laporan bedah siasat oleh Penguasa Sains Kesihatan menyatakan bahawa punca kematiannya adalah kerana terhidu asap.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan kerakyatannya manakala lokasi flat itu telah disunting.

Berdasarkan penemuan daripada laporan psikiatri yang dikemukakan oleh pihak pembela, pihak pendakwa menyatakan bahawa mereka tidak akan membantah gesaan untuk laporan kesesuaian perintah rawatan wajib dilakukan.

Perintah rawatan wajib ialah pilihan hukuman masyarakat yang ditawarkan kepada pesalah yang mengalami keadaan mental yang menyumbang kepada kesalahan itu.

Laporan psikiatri, yang bertarikh 10 Mac, mendedahkan bahawa Chia mengalami gangguan bipolar jangka panjang dan telah mendapatkan rawatan daripada Institut Kesihatan Mental (IMH) sebelum waktu kesalahannya.

Ia juga menyatakan bahawa tingkah laku Chia ketika kejadian itu juga luar biasa dan tindakannya adalah sebahagian daripada episod yang membawa kepada tingkah laku impulsif dan berbahaya.

Bersetuju dengan pihak pendakwa, peguam bela Riko Chua Isaac berkata bahawa Chia telah meluahkan kekesalan yang mendalam terhadap kejadian itu dan amat menyesali kematian Koimatun.

Encik Isaac menambah bahawa Chia telah mengalami gangguan bipolar sejak usia yang sangat muda dan tidak ada yang mencadangkan bahawa dia memulakan kebakaran untuk membahayakan mangsa secara khusus.

Atas sebab menyebabkan kematian kerana tindakan terburu-buru yang tidak membawa kepada kesalahan bunuh tanpa niat, Chia boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Sumber : Today/AT/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan