Skip to main content

Singapura

Lelaki bakal didakwa kes bunuh selepas seorang lagi lelaki ditemui mati di Yishun Ring Road

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Jul 2024 05:00PM Dikemas Kini : 27 Jul 2024 09:12PM
SINGAPURA: Seorang lelaki diberkas pada Sabtu (27 Jul) kerana membunuh seorang lelaki berusia 35 tahun di Yishun Ring Road.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan pada kira-kira 8.35 pagi di Yishun Ring Road.

Mangsa terbabit ditemui terbaring kaku dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan awal menunjukkan bahawa kedua-dua pihak saling mengenali satu sama lain.

Suspek berusia 49 tahun itu diberkas di tempat kejadian. Dia akan didakwa di mahkamah pada 29 Julai. Kesalahan membunuh membawa hukuman mati.

Siasatan masih dijalankan, menurut pihak polis.
Kenderaan polis dilihat di Yishun Ring Road pada 27 Julai 2024. (Gambar: Raydza Rahman/CNA)
Sebuah pasukan penyiasat tempat kejadian dilihat berjalan ke arah blok berkenaan. (Gambar: Raydza Rahman/CNA)
Apabila Mediacorp tiba di tempat kejadian sejurus sebelum 11.00 pagi, terdapat beberapa kenderaan polis kelihatan.

Sebuah pasukan penyiasat tempat kejadian dilihat berjalan ke arah blok berkenaan.

Pegawai polis dilihat masuk dan keluar dari flat di Yishun Ring Road di tingkat 10.

Darah juga kelihatan berlumuran di luar unit berkenaan.

Menurut seorang penduduk yang tinggal di tingkat 12 dari blok bertentangan, yang hanya ingin dikenali sebagai Jerry, dia terdengar suara jeritan antara dua lelaki kira-kira pukul 8.00 pagi, sambil menyangka ia mungkin jirannya di tingkat bawah.

Dia kemudian ternampak kereta-kereta polis apabila keluar untuk membeli sarapan pagi pada kira-kira 10.00 pagi.

Seorang penduduk yang tinggal di tingkat enam pula, Azamad, berkata dia sudah mengenali mangsa itu lebih 10 tahun sebagai jiran, meskipun mereka tidak rapat.

Beliau memberitahu Mediacorp bahawa terakhir kali beliau ternampak mangsa terbabit adalah pada Isnin apabila mereka bersembang dalam lif.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan pada sekitar 8.40 pagi, sambil menambah bahawa seorang individu telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita