Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki Australia mengaku baling botol dari unit kondominum, bunuh lelaki 73 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki Australia mengaku baling botol dari unit kondominum, bunuh lelaki 73 tahun

Petikan gambar 18 Spottiswoode Park Road dari Google Street View (Gambar fail)

SINGAPURA: Lelaki warga Australia Andrew Gosling, 49 tahun, mengaku di mahkamah pada Jumaat (25 Feb) melakukan perbuatan jenayah yang mengakibatkan kematian seorang lelaki berusia 73 tahun.

Gosling didakwa membuang botol wain dari tingkat tujuh kondominium di Sporttiswoode Park ke arah sekumpulan orang di kawasan barbeku di tingkat lima.

Botol kaca itu terkena kepala lelaki berusia 73 tahun itu menyebabkan kematiannya, sebelum memantul dan mencedera bahu isteri lelaki berkenaan.

Dia memberitahu polis dia hanya mahu mengejutkan kumpulan itu, yang terdiri daripada penduduk Melayu Islam.

Mahkamah diberitahu bahawa Gosling "marah dan kecewa" terhadap serangan yang dilakukan oleh kumpulan militan di Bali dan Melbourne yang membunuh warga Australia. Tetapi peguamnya berhujah walaupun dia bersalah kerana membaling botol itu, ia bukan jenayah kebencian agama.

Gosling, yang sudah ditahan reman sejak lebih dua tahun dan lima bulan lalu, mengaku bersalah atas setiap satu tuduhan menyebabkan kematian dengan melakukan perbuatan cuai dan menyebabkan kecederaan parah atas perbuatan terburu-buru.

Mahkamah diberitahu bahawa Gosling datang ke Singapura pada Julai 2019 untuk mencari pekerjaan dan kemudiannya menyewa sebuah unit di kondominium Spottiswoode 18 di Tanjong Pagar.

Pada 18 Ogos 2019, dia sedang minum bir bersama seorang kenalannya, sebelum kembali untuk berenang di kondominiumnya. Dia terperasan ada sekumpulan orang sedang barbeku di tingkat lima bersebelahan dengan kolam renang.

Semasa disiasat polis, Gosling mengaku dia pernah terfikir untuk menggunakan senjata seperti pistol untuk menembak kumpulan itu, tetapi tidak meneruskannya kerana ia adalah "perbuatan keji".

Pada sekitar 8 malam, dia terjumpa botol wain kosong sepanjang kira-kira 30 sentimeter di tempat sampah lalu melemparnya ke arah kawasan barbeku.

Gosling juga melontarkan kata-kata kesat berbaur keagamaan sebelum berlari masuk ke unitnya, kata pihak pendakwaan.

Selepas kejadian itu, kira-kira 25 pegawai polis dikerahkan ke kondominium berkenaan. Gosling berulang kali menafikan terdengar kekecohan di kondominium itu dengan mendakwa dia berada di dalam unitnya.

Dia ditunjukkan botol itu dan hanya selepas dia memberikan contoh DNA dan cap jari, dia menyedari kemungkinan botol itu dikaitkan dengannya lalu menyerah diri kepada polis.

Gosling dinilai oleh pakar psikiatri dari Institut Kesihatan Mental (IMH) dan didapati dalam keadaan mabuk semasa kejadian itu. Dia juga mempunyai sejarah gangguan kecemasan, tetapi tiada kaitan dikesan antara keadaan mentalnya dan kesalahan itu.

KESAN TERHADAP ISTERI MANGSA

Lengan isteri mangsa dibalut selama kira-kira dua bulan.

Beliau sudah berumahtangga dengan mangsa selama 45 tahun dan mempunyai empat orang anak.

Mangsa bekerja sebagai pemandu van di sebuah syarikat penghantaran dan akan memberi isterinya S$600 untuk perbelanjaan bulanan.

Mahkamah diberitahu beliau kini mengisi masanya dengan memasak untuk semua anaknya.

Timbalan Pendakwa Raya G Kannan meminta Gosling dihukum penjara tujuh tahun disebabkan tahap serius kejadian itu tidak benar-benar digambarkan sebagai perbuatan terburu-buru.

"Ini bukan tindakan terburu-buru," menurutnya sambil menambah bahawa, Gosling mempunyai sikap bermusuhan terhadap orang Islam dan bertindak dengan menyasarkan botol ke arah meja.

BUKAN JENAYAH KEBENCIAN AGAMA: PEGUAM BELA

Gosling diwakili peguam Gloria James-Civetta, N Sreenivasan dan Selvarajan Balamurugan. Peguam Kanan Sreenivasan berkata Gosling tetap bersalah, dan apa yang dilakukannya sememangnya satu perbuatan teruk.

Bagaimanapun, beliau merujuk kepada laporan psikiatri yang disediakan kedua-dua pakar psikiatri pihak pendakwaan dan pembelaan, yang menyatakan bahawa pemikiran Gosling tidak benar-benar mencerminkan sebarang sentimen anti-Muslim.

Encik Sreenivasan juga membacakan surat ditulis Gosling kepada keluarga mangsa.

Dalam suratnya, Gosling "meminta maaf sepenuh hati" dan berkata dia ingin berkongsi "rasa penyesalan dan belas yang tulus".

Encik Sreenivasan berkata Gosling "bersedia untuk melalui pemulihan di Penjara Changi" dan berkata tindakannya itu mempunyai "impak yang meluas" kepada keluarga dan orang tersayang.

Kes itu ditangguhkan hingga petang Jumaat bagi pihak pendakwaan menjawab hujah pembelaan.
 

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan