Skip to main content

Singapura

Lelaki alami luka tembakan ketika berbasikal di kawasan larangan SAF

Seorang lelaki mengalami luka tembakan pada Ahad (15 Jun) semasa berbasikal di kawasan hutan berhampiran latihan menembak peluru hidup oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki alami luka tembakan ketika berbasikal di kawasan larangan SAF

Lelaki itu sedang berbasikal dengan teman-temannya di kawasan hutan di Hutan Simpanan Kawasan Tadahan Air Tengah apabila kejadian tersebut berlaku. (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 16 Jun 2025 05:20PM Dikemas Kini : 16 Jun 2025 08:04PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 42 tahun mengalami luka tembakan pada Ahad (15 Jun) semasa berbasikal di kawasan larangan berdekatan Nee Soon Range, di mana Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sedang menjalankan latihan menembak peluru hidup.

"Sebutir peluru tersangkut pada bahagian kiri bawah belakang tubuh lelaki itu," menurut polis dalam satu kenyataan media pada Isnin (16 Jun), sambil menambah kecederaan yang dialami tidak mengancam nyawa.

Lelaki itu kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru itu.

Menurut polis, lelaki itu sedang berbasikal dengan teman-temannya di kawasan hutan di Hutan Simpanan Kawasan Tadahan Air Tengah antara Kolam Air Upper Seletar dengan Kolam Air Upper Pierce pada kira-kira pukul 11.40 pagi pada Ahad.

"Orang awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu, yang mempunyai papan tanda amaran yang melarang kemasukan tanpa kebenaran ke kawasan latihan menembak peluru hidup," menurut polis.

Beliau kemudian dibawa ke hospital oleh teman-temannya.

Polis menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Hospital Universiti Nasional (NUH) pada kira-kira pukul 11.55 malam pada Ahad.

Menurut siasatan awal, kejadian itu berlaku di kawasan yang diwartakan untuk SAF melakukan latihan menembak peluru hidup.

"Ketika kejadian itu berlaku, satu latihan menembak peluru hidup sedang dijalankan oleh SAF di Nee Soon 500m range yang terletak kira-kira 2.3 kilometer dari kawasan itu," kata seorang jurucakap bagi Kementerian Pertahanan (MINDEF).

"SAF sedang bekerja rapat dengan polis dan pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat kejadian itu.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, latihan menembak peluru hidup di Nee Soon 500m Range digantung."
Sumber : CNA/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita