Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki akan didakwa setelah langgar kenderaan polis dalam kejadian kejar-mengejar kereta

Seorang lelaki berusia 37 tahun yang melanggar sebuah kereta polis pada Rabu (7 Okt), mencederakan seorang pegawai dalam kenderaan itu, akan didakwa pada Jumaat kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugasnya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki akan didakwa setelah langgar kenderaan polis dalam kejadian kejar-mengejar kereta

(Gambar hiasan: Jeremy Long)

Diterbitkan : 08 Oct 2020 11:38PM Dikemas Kini : 08 Oct 2020 11:40PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 37 tahun yang melanggar sebuah kereta polis pada Rabu (7 Okt), mencederakan seorang pegawai dalam kenderaan itu, akan didakwa pada Jumaat kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugasnya.

Lelaki itu juga akan disiasat kerana memandu secara berbahaya, memiliki senjata tanpa lesen dan kesalahan disyaki berkaitan dadah, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media pada Khamis (8 Okt).

Para pegawai ternampak lelaki berkenaan memandu kereta secara melulu dan membahayakan di sebuah tempat letak kereta pada sekitar 3.15 pagi Rabu, menurut SPF.

Para pegawai tersebut, yang sedang menjalankan pemeriksaan kenderaan di Chai Chee Road ketika itu, memberi isyarat kepada lelaki tersebut untuk berhenti. Bagaimanapun, dia memecut lalu dan insiden kejar-mengejar kereta bermula.

"Lelaki tersebut memandu ke dalam sebuah tempat meletak kenderaan di Bedok North Street 1 dan melanggar bahagian kiri kereta polis menyebabkan salah seorang pegawai polis di dalam kenderaan itu cedera. Lelaki itu kemudian merempuh pembahagi jalan raya dan melepaskan diri," terang SPF.

Pegawai yang cedera - seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa berusia 21 tahun dibawa ke hospital bagi menjalani rawatan.

Suspek lelaki itu juga melanggar beberapa undang-undang trafik semasa insiden kejar- mengejar tersebut termasuk tidak berhenti di lampu merah dan memandu lawan arus trafik, jelas polis.

ALAT RENJATAN ELEKTRIK, BAHAN DISYAKI DADAH DITEMUI

Kereta itu kemudian ditemui tersadai di Bedok North Avenue 3. Sebuah objek, dipercayai alat renjatan elektrik, ditemui semasa kenderaan itu diperiksa, kata SPF.

Lelaki berkenaan ditangkap pada Khamis setelah pegawai dari Divisyen Polis Bedok mengenal pasti identitinya melalui siasatan susulan.

Polis menambah bahan-bahan disyaki dadah terkawal ditemui pada lelaki itu semasa dia ditangkap.

Lelaki itu sebelum ini pernah didakwa atas kesalahan melakukan perbuatan gopoh sehingga menyebabkan kecederaan pada Ogos dan sedang bebas dengan diikat jamin apabila insiden berlaku pada Rabu, menurut SPF.

Jika didapati bersalah menyebabkan kecederaan untuk menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugasnya, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda atau dikenakan sebatan rotan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan