Lelaki akan didakwa kerana guna mata KrisFlyer miles individu lain untuk beli-belah di Changi, Bugis
Seorang lelaki berusia 28 tahun akan didakwa pada Khamis (29 Mei) kerana dipercayai membuat pembelian menggunakan mata KrisFlyer miles yang diperolehi secara haram, menurut polis.
Aplikasi SingaporeAir dan Kris+, yang menggunakan mata KrisFlyer miles dipaparkan pada sebuah telefon bimbit pada 28 Mei 2025. (Gambar: CNA)
Menurut siasatan awal, lelaki warga Indonesia itu, semasa di luar negara, telah mengakses akaun KrisFlyer milik individu lain selepas membelinya secara haram menerusi online, menurut polis dalam kenyataan media pada Rabu (28 Mei).
Dia kemudian melakukan perjalanan ke Singapura pada Jun tahun lalu di mana dia dipercayai menggunakan mata KrisFlyer miles yang dicuri itu untuk membeli sebuah telefon bimbit jenama Samsung dan penutup telefon dari sebuah kedai di Lapangan Terbang Changi serta beberapa pastri dari sebuah kedai di Bugis.
Keseluruhan jumlah itu lebih daripada S$1,600, menurut polis.
Urus niaga disyaki penipuan itu dikesan oleh para peniaga tempatan dan Lapangan Terbang Singapura membuat aduan polis pada 11 Oktober 2024.
Walaupun pegawai polis dapat mengenal pasti identiti lelaki itu, dia sudah pun meninggalkan Singapura pada September tahun lalu.
Dia ditahan di Lapangan Terbang Changi pada 11 Januari lalu apabila dia kembali ke Singapura.
Lelaki itu akan didakwa atas dua tuduhan akses tanpa kebenaran kepada bahan komputer di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Penyalahgunaan Komputer 1993.
Kesalahan sedemikian membawa hukuman denda tidak melebihi S$5,000, hukuman penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dia juga berdepan dua tuduhan melakukan modifikasi tanpa izin terhadap bahan komputer di bawah Akta yang sama.
Kesalahan itu membawa hukuman denda sehingga S$10,000, hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Polis menasihatkan orang awam supaya melindungi akaun-akaun online dengan mengaktifkan pengesahan berbilang faktor atau pengesahan dua faktor (2FA), sewajarnya untuk mengetatkan keselamatan.
"Jika anda melihat sebarang urus niaga mencurigakan atau tanpa kebenaran, sila laporkan kejadian itu kepada penyedia khidmat atau pihak bank dengan segera," menurut polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.