Skip to main content

Singapura

Lelaki akan didakwa kerana buat lebih 1,000 panggilan senyap kepada polis dalam seminggu

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki akan didakwa kerana buat lebih 1,000 panggilan senyap kepada polis dalam seminggu

Seorang lelaki menggenggam telefon. (Gambar: iStock)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 13 May 2026 08:27AM Dikemas Kini : 13 May 2026 08:28AM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 37 tahun akan didakwa di mahkamah pada Rabu (13 Mei) kerana didakwa membuat lebih 1,000 panggilan senyap ke talian hotline polis dalam masa seminggu.

Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan dalam satu kenyataan media pada Selasa (12 Mei) bahawa ia menerima lebih 1,035 panggilan daripada lelaki itu melalui beberapa talian hotline balai polis kejiranan antara 21 April dengan 28 April.

"Lelaki itu mengambil langkah-langkah terperinci untuk menyelindungi identitinya, termasuk menggunakan nombor asing untuk membuat panggilan dan berdiam diri semasa panggilan dibuat," kata SPF.

Menyusuli siasatan di lapangan, para pegawai dari divisyen polis Woodlands mengenal pasti identiti suspek dan menahannya pada 11 Mei.

Lelaki itu akan didakwa kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas mereka dan melakukan transaksi kad SIM yang berdaftar menggunakan maklumat peribadi orang lain bagi kegiatan jenayah.

"Polis memandang serius terhadap individu yang membuat panggilan senyap atau palsu kepada talian hotline polis untuk menghalang tugas mereka dan tidak akan teragak-agak untuk menjejaki dan mengheret pesalah ke mahkamah jika perlu," kata SPF.

Jika sabit kesalahan menghalang tugas penjawat awam, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda sehingga S$2,500 atau kedua-duanya.

Jika sabit kesalahan menggunakan kad SIM yang didaftarkan menggunakan maklumat peribadi orang lain untuk aktiviti jenayah, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita