Lelaki akan didakwa curi baucar barangan dapur dari peti surat Marine Terrace
Seorang lelaki 46 tahun akan didakwa pada Jumaat (30 Okt) kerana mencuri baucar barangan dapur Belanjawan 2020 dari peti-peti surat di Marine Terrace.
(Gambar: Facebook/SPF)
SINGAPURA: Seorang lelaki 46 tahun akan didakwa pada Jumaat (30 Okt) kerana mencuri baucar barangan dapur Belanjawan 2020 dari peti-peti surat di Marine Terrace.
Dalam kenyataan media pada Khamis, polis memaklumkan bahawa mereka menerima laporan pada 14 Oktober mengenai baucar yang dicuri dari peti-peti surat di sebuah blok perumahan di Marine Terrace.
Menerusi siasatan di tempat itu dan bantuan gambar-gambar dari kamera litar tertutup, para pegawai dari Divisyen Polis Bedok mengenal pasti identiti lelaki itu dan menangkapnya pada Khamis.
Suspek dipercayai terlibat dalam kes-kes kecurian serupa yang berlaku di sekitar kawasan itu.
Jika disabitkan kesalahan mencuri, dia boleh dipenjara hingga tiga tahun atau didenda, atau kedua-duanya.
Siri pencurian baucar barangan dapur sedemikian dilaporkan baru-baru ini, setelah Pemerintah mengagihkan baucar-baucar tersebut kepada isi-isi rumah berpendapatan rendah yang tinggal di flat-flat satu dan dua bilik.
Awal bulan ini, pihak polis menahan empat lelaki dan tiga wanita yang disyaki mencuri baucar tersebut dari peti-peti surat dari blok-blok perumahan awam merata Singapura.
Polis menyatakan pada ketika itu kes-kes tersebut kelihatan tidak mempunyai kaitan dan bersifat mengambil kesempatan.
Baucar-baucar itu, yang diumumkan semasa Belanjawan Perpaduan pada Februari, dikirimkan menerusi pos kepada 150,000 warga Singapura berusia 21 tahun ke atas yang tinggal di flat-flat HDB tertentu.
Para penerima dijadual menerima baucar barangan dapur bernilai S$150 pada Oktober, S$150 lagi pada Disember dan baucar bernilai S$100 pada Oktober tahun hadapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.