Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki akan didakwa bertindak melulu; sengaja undur kereta 2 kali ke arah kenderaan lain di Geylang

Seorang lelaki berusia 55 tahun akan didakwa pada Khamis (23 Jul) kerana melakukan tindakan melulu yang membahayakan keselamatan orang lain setelah dia diberkas atas pelibatannya dalam satu insiden trafik. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki akan didakwa bertindak melulu; sengaja undur kereta 2 kali ke arah kenderaan lain di Geylang

(Petikan video: SG Road Vigilante/Facebook)

Diterbitkan : 23 Jul 2020 08:00AM Dikemas Kini : 23 Jul 2020 08:01AM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 55 tahun akan didakwa pada Khamis (23 Jul) kerana melakukan tindakan melulu yang membahayakan keselamatan orang lain setelah dia diberkas atas pelibatannya dalam satu insiden trafik.

Dalam satu kenyataan media pada Rabu, polis menyatakan ia dimaklumkan tentang satu insiden sehari sebelumnya di mana seorang lelaki dilihat memandu secara cuai di Lorong 16 Geylang.

Siasatan awal mendedahkan lelaki berkenaan dipercayai meminum arak dan disyaki mengundurkan keretanya dengan sengaja ke arah sebuah lagi kereta dan melanggar kenderaan tersebut sebanyak dua kali.

Dia juga membahayakan keselamatan para pejalan kaki dengan tindakannya itu, jelas polis.

Melalui siasatan di tempat kejadian dan bantuan kamera polis serta kamera litar tertutup, para pegawai daripada Divisyen Polis Bedok berjaya mengenal pasti identiti lelaki itu dan menangkapnya pada Rabu.

“Peralatan yang disyaki perkakas dadah juga dirampas daripada kenderaannya," menurut polis.

Dalam satu video yang dimuat naik ke Facebook kumpulan SG Road Vigilante, dengan kapsyen menyatakan ia dirakam di Geylang Lorong 16, seorang lelaki pertengahan usia yang berbaju kemeja-T hitam dilihat keluar daripada sebuah kereta hitam dan melemparkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota awam.

Dia kemudian memasuki keretanya sebelum mengundurkan kenderaan itu ke arah sebuah kereta sebanyak dua kali sebelum memandunya keluar ke jalan raya yang sibuk.

Jika didapati bersalah melakukan tindakan melulu, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga S$2,500 atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, dia boleh dipenjara sehingga 12 bulan atau didenda antara S$2,000 hingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan