Skip to main content

Singapura

Lelaki akan didakwa atas kata-kata kesat terhadap kakitangan, rosakkan dinding Lapangan Terbang Changi

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki akan didakwa atas kata-kata kesat terhadap kakitangan, rosakkan dinding Lapangan Terbang Changi

Pintu masuk dewan berlepas Terminal 3 Lapangan Terbang Changi Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 16 Mar 2025 01:49PM Dikemas Kini : 16 Mar 2025 01:52PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 57 tahun akan didakwa di mahkamah pada Isnin (17 Mac) kerana melemparkan kata-kata kesat terhadap kakitangan syarikat penerbangan dan menyebabkan kerosakan harta benda awam di Lapangan Terbang Changi.

Pihak berkuasa telah dimaklumkan pada 8 Mac mengenai insiden seorang lelaki terjerit-jerit dan bersikap biadab terhadap kakitangan wanita sebuah syarikat penerbangan di Terminal 3, dan merosakkan dinding bilik dewan keberangkatan, kata polis pada Ahad (16 Mac).

Siasatan mendapati lelaki warga Britain itu menyedari dia tersalah letak telefon bimbitnya selepas menaiki pesawat untuk penerbangannya dari Singapura ke London.

Dia kemudian meninggalkan pesawat itu, dengan harapan untuk mencari telefon bimbitnya di lounge lapangan terbang di mana dia berada sebelum itu.

Seorang kakitangan wanita syarikat penerbangan memeriksa dengan kakitangan lounge lapangan terbang dan memaklumkan kepadanya bahawa tiada telefon bimbit ditemui di sana.

Memandangkan sudah hampir dengan waktu penerbangan dijadual berlepas, kakitangan wanita itu memaklumkan kepadanya bahawa tindakan meninggalkan dewan keberangkatan akan menyebabkan dia diturunkan dari pesawat.

Lelaki itu kemudian membalas dengan "kata-kata kesat dan menghina", kata polis.

Semasa dia berjalan ke arah pesawat, dia "menendang dan merosakkan panel dinding jambatan udara".

Lelaki itu kemudian diturunkan dari pesawat dan para pegawai dari Divisyen Polis Lapangan Terbang dikerahkan ke tempat kejadian, kata polis.

“Sebarang bentuk gangguan atau tingkah laku kesat terhadap kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan tidak boleh diterima sama sekali kerana ia mengganggu operasi lapangan terbang dan menjejaskan keselamatan kakitangan serta keupayaan mereka untuk melaksanakan tugas mereka dengan berkesan,” kata Penolong Pesuruhjaya Polis M Malathi.

“Polis memandang serius terhadap tindakan sedemikian dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang berbuat demikian,” tambah komander Divisyen Polis Lapangan Terbang itu.

Kerana menggunakan kata-kata kesat terhadap seseorang, lelaki itu berdepan denda sehingga S$5,000, hukuman penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan menyebabkan kerosakan pada harta benda awam, dia berdepan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita