Lelaki acu pisau pada leher wanita di Yishun didakwa & direman di IMH

(Gambar: Tangkapan skrin video yang tular di media sosial)
SINGAPURA: Seorang lelaki yang menahan dan mengacu pisau pada leher seorang wanita di Yishun didakwa pada Selasa (10 Jan) dan direman di Institut Kesihatan Mental (IMH).
Mohamed Faizal Mohamed Ariff, 41 tahun, didakwa dengan satu tuduhan memiliki senjata berbahaya di kolong Blok 108 Yishun Ring Road pada Isnin (9 Jan).
Faizal dipercayai membawa sebilah pisau pada pagi itu.
Dia didakwa di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah di mana orang awam tidak dibenarkan masuk dan dia turut diberi arahan supaya direman di IMH bagi pemeriksaan perubatan.
Menurut dokumen mahkamah, dia tidak diwakili peguam dan kesnya akan didengar sekali lagi pada 20 Januari.
Siasatan awal mendapati air kencing lelaki itu diuji positif bagi dadah terkawal dan tuduhan lain mungkin dikenakan setelah siasatan selesai dijalankan.
Jika didapati bersalah kerana memiliki senjata berbahaya, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan disebat sekurang-kurangnya enam kali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.