Skip to main content

Singapura

Lelaki 90 tahun bunuh isteri ketika tidak siuman; pendakwa mohon tempoh penjara bayangan 5 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 90 tahun bunuh isteri ketika tidak siuman; pendakwa mohon tempoh penjara bayangan 5 tahun

Bangunan Mahkamah Agung Singapura. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 03 Aug 2026 05:10PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 90 tahun yang membunuh isterinya dalam satu serangan maut didapati tidak siuman ketika kejadian akibat demensia dan delirium, dengan Mahkamah Tinggi kini mempertimbangkan tempoh penjara bayangan yang sesuai bagi kes tersebut.

Ridawi Morsudin, yang berusia 88 tahun ketika kejadian pada Jun 2024 itu, masih tidak siuman dan tidak layak untuk membuat pengakuan atau membela dirinya di mahkamah.

Kesihatannya juga semakin merosot dan beliau kini terlantar di katil serta bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk menjalankan kegiatan harian.

Kes itu dipercayai yang pertama seumpamanya dikendalikan sejak pindaan undang-undang berkaitan pesalah yang tidak siuman berkuat kuasa pada Februari 2025.

ISTERI ALAMI KECEDERAAN PARAH

Ridawi tinggal bersama isterinya yang berusia 74 tahun dan cucu mereka di sebuah flat.

Sejak 2022, keupayaan mental Ridawi mula merosot dan tidak lagi mengenali anggota keluarganya. Dia juga menjadi lebih panas baran dan agresif serta sering keluar dari flat sebelum sesat.

Pada awal 2024, Ridawi dimasukkan ke Hospital Besar Ng Teng Fong selepas ditemui dalam keadaan keliru di kolong blok. Dia kemudian didiagnosis mengalami demensia campuran.

Isterinya kali terakhir dilihat masih hidup oleh seorang saudara yang menghantar makanan ke flat mereka sekitar 7.00 malam pada 4 Jun 2024.

Selepas tengah malam pada 5 Jun, cucu Ridawi melihat menerusi rakaman langsung kamera litar tertutup (CCTV) bahawa neneknya tidak bergerak di atas lantai dalam keadaan berlumuran darah.

Mangsa mengalami kecederaan besar dari bahagian rahang hingga ke dada, selain sekurang-kurangnya 34 kecederaan akibat objek tajam.

Bedah siasat turut mendapati tengkorak, leher dan tulang belakangnya mengalami keretakan.

Darah dan DNA mangsa ditemui pada dua pasang gunting berlumuran darah serta pada beberapa bahagian tubuh Ridawi.

TIDAK LAYAK MEMBELA DIRI

Ridawi didapati mengalami gangguan neurokognitif utama akibat penyakit Alzheimer dan penyakit vaskular, selain kemungkinan mengalami delirium ketika kejadian.

Seorang pakar psikiatri berkata delirium berkemungkinan memesongkan persepsi Ridawi terhadap realiti.

Keadaannya menyebabkan beliau tidak layak membuat pengakuan dan tidak mampu membela dirinya. Kemampuannya untuk berbuat demikian juga dijangka tidak akan pulih.

Di bawah peruntukan Kanun Tatacara Jenayah yang terpakai bagi kes sedemikian, mahkamah perlu menentukan sama ada Ridawi tidak mampu membela dirinya.

Jika demikian, mahkamah perlu melaporkan kes itu kepada menteri berkaitan dan menetapkan tempoh penjara bayangan yang akan dikenakan sekiranya Ridawi disabitkan atas kesalahan tersebut.

Pendakwa raya memohon tempoh penjara bayangan lima tahun dengan mengambil kira keadaan mental Ridawi ketika kejadian serta usia dan keadaan kesihatannya sekarang.

Pihak pembelaan pula memohon tempoh dua hingga tiga tahun, dengan berhujah bahawa keadaan kesihatan Ridawi sudah merosot dan kemungkinan beliau melakukan kesalahan semula adalah rendah.

Ridawi kini ditahan di Kompleks Perubatan Changi.

Hakim Hoo Sheau Peng menangguhkan kes itu hingga 13 Ogos untuk membuat keputusan.

Sekiranya Ridawi berada dalam keadaan siuman dan disabitkan atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, beliau boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau sehingga 20 tahun dan denda.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita