Skip to main content

Singapura

Lelaki 78 tahun dijel, cabul kehormatan pesakit palsi serebrum sewaktu ziarah isteri di rumah rawatan

RA: Seorang warga tua lelaki dihukum penjara pada Isnin (16 Sep) kerana mencabul seorang pesakit palsi serebrum di sebuah rumah rawatan semasa melawat isterinya di tempat itu pada awal tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 78 tahun dijel, cabul kehormatan pesakit palsi serebrum sewaktu ziarah isteri di rumah rawatan

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 16 Sep 2019 03:00PM Dikemas Kini : 16 Sep 2019 03:04PM

SINGAPURA: Seorang warga tua lelaki dihukum penjara pada Isnin (16 Sep) kerana mencabul seorang pesakit palsi serebrum di sebuah rumah rawatan semasa melawat isterinya di tempat itu pada awal tahun ini.

Pesara berusia 78 tahun itu dijatuhi hukuman penjara lapan bulan atas satu tuduhan mencabul kehormatan mangsa berumur 37 tahun.

Mahkamah diberitahu lelaki berkenaan sedang menziarahi isterinya, yang menghidap angin ahmar, di sebuah rumah rawatan pada 22 Januari lalu apabila dia ternampak mangsa di kawasan ruang bersama tempat tersebut.

Mangsa sedang duduk bersendirian di kerusi rodanya sambil menghadap televisyen. Pada masa yang sama, ada sekitar 30 penghuni lain yang sedang menjalani latihan terapi di ruang tersebut.

Lelaki itu perasan mangsa "kelihatan tidak sihat" dan kedua-dua tangannya dibalut, kata Penolong Pendakwa Raya Gabriel Lim.

Apabila suspek ternampak seekor lipas terbang ke bahagian dada mangsa, dia segera menghampiri wanita itu untuk membantunya.

Bagaimanapun, sewaktu berbuat demikian, lelaki berkenaan ternampak baju wanita itu longgar dan buah dadanya terdedah sedikit. Mangsa juga dilihat tidak memakai coli.

Warga tua itu memasukkan tangannya ke dalam pakaian mangsa dan meraba beliau.

Seorang pembantu terapi nampak lelaki berkenaan berdiri amat dekat dengan mangsa dan memaklumkannya kepada seorang penolong jururawat yang kemudian menyoal tertuduh tentang perbuatannya itu.

Tanpa menjawab, lelaki tua itu berundur pergi dan meninggalkan rumah rawatan tersebut.

Penolong jururawat berkenaan melaporkan perkara tersebut kepada seorang jururawat kanan dan insiden itu dibawa ke pihak pengurusan.

Aduan polis dilakukan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tertuduh berdiri sangat dekat dengan mangsa.

Atas kesalahan menggunakan kekerasan ke atas wanita untuk mencabul kehormatannya, lelaki itu boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, dikenakan sebatan rotan atau mana-mana gabungan hukuman tersebut.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita