Skip to main content

Singapura

Lelaki 68 tahun maut terjatuh di landasan Stesen Segar; khidmat LRT Bukit Panjang disambung semula

Khidmat LRT antara stesen Senja dengan Bukit Panjang tergendala selama beberapa jam pada Isnin (18 Mei) selepas seorang lelaki terjatuh ke landasan dan meninggal dunia.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 May 2026 01:27PM Dikemas Kini : 31 May 2026 02:14PM
SINGAPURA: Khidmat LRT antara stesen Senja dengan Bukit Panjang tergendala selama beberapa jam pada Isnin (18 Mei) selepas seorang lelaki terjatuh ke landasan dan meninggal dunia.

Lelaki berusia 68 tahun itu dilihat terjatuh ke landasan di hadapan sebuah LRT yang sedang menghampiri stesen itu sekitar pukul 5.00 pagi, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).

Beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh seorang paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Berdasarkan siasatan awal, polis menyatakan mereka tidak mengesyaki sebarang unsur khianat, sambil menambah bahawa siasatan masih dijalankan.

SMRT akan terus membantu dalam siasatan polis, kata Presiden SMRT Trains Lam Sheau Kai.

“Pasukan sokongan kami sudah menghubungi keluarga mangsa dalam tempoh sukar ini. Kami berterima kasih kepada para penumpang atas kesabaran dan pemahaman mereka,” tambah beliau.

SMRT mula memaklumkan tentang “kelewatan besar” di laluan LRT itu menerusi satu catatan di Facebook pada pukul 6.00 pagi.

Syarikat tersebut kemudian menyatakan bahawa khidmat antara stesen Senja dengan Petir terjejas akibat “pencerobohan landasan”.

Dalam kemas kini pada sekitar pukul 7.10 pagi, SMRT menyatakan seorang lelaki dilihat menceroboh landasan berhampiran Stesen Segar sekitar pukul 5.00 pagi.

Sekitar sejam kemudian, SMRT mengemas kini nasihat perjalanannya dengan menyatakan bahawa lelaki itu “dilihat terjatuh ke landasan” di Stesen Segar.

Pada ketika itu, khidmat LRT antara Stesen Petir dengan Senja bagi kedua-dua arah digantung buat sementara waktu untuk membolehkan polis menjalankan siasatan dengan selamat di landasan.

Khidmat bas biasa dan bas perantara percuma diaktifkan bagi para penumpang yang terjejas, sebelum ia dihentikan pada sekitar pukul 10.20 pagi.

Para penumpang yang memerlukan 'e-Travel Chit' boleh mengemukakan permohonan menerusi laman web SMRT.

Sistem BPLRT merupakan sebuah laluan sepanjang lapan kilometer yang menghubungkan estet-estet perumahan di Bukit Panjang dan Choa Chu Kang dengan Laluan Utara-Selatan serta Laluan Downtown.

LTA pada November lalu menyatakan sekitar 88 peratus kerja-kerja pembaharuan sistem BPLRT sudah siap dan ia dijadual selesai sepenuhnya menjelang suku terakhir 2026.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita