Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 68 tahun didakwa terbang dron rakam Markas Operasi Khas di Queensway

Seorang lelaki berusia 68 tahun akan didakwa di mahkamah pada Jumaat (23 Jul) kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pengemudian Udara selepas sebuah dron dilihat di pangkalan Markas Operasi Khas di Queensway.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 68 tahun didakwa terbang dron rakam Markas Operasi Khas di Queensway

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 23 Jul 2021 09:31AM Dikemas Kini : 23 Jul 2021 09:33AM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 68 tahun akan didakwa di mahkamah pada Jumaat (23 Jul) kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pengemudian Udara selepas sebuah dron dilihat di pangkalan Markas Operasi Khas di Queensway.

Dalam kenyataannya pada Khamis malam (22 Jul), polis menyatakan ia menerima aduan tentang insiden di pangkalan markas berkenaan berdekatan Mei Chin Road di Queenstown pada 31 Jan.

Para pegawai dari Divisyen Polis Clementi kemudian mengenal pasti identiti rakyat Singapura yang menerbangkan dron tersebut.

Siasatan mendapati bahawa tertuduh dipercayai menerbangkan dron berkenaan pada ketinggian melebihi 200 kaki (61 meter) di atas permukaan laut tanpa permit.

Dia juga dipercayai mengambil gambar dan video pangkalan tersebut meskipun ia adalah kawasan larangan.

Lelaki itu akan didakwa di mahkamah dengan satu tuduhan mengambil gambar kawasan larangan menggunakan dron di bawah Seksyen 7(2) Akta Pengemudian Udara dan satu tuduhan menerbangkan dron tanpa permit aktiviti Kelas 2 di bawah akta tersebut.

Kesalahan mengambil gambar kawasan larangan menggunakan dron membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga S$50,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan menerbangkan dron tanpa permit aktiviti Kelas 2 pula membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi S$50,000, atau kedua-duanya sekali.

Polis menegaskan ia tidak membenarkan dron diterbangkan dengan cara yang tidak selamat dan secara tidak bertanggungjawab kerana ia menimbulkan risiko kepada penerbangan dan keselamatan awam.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi peraturan-peraturan mengenai aktiviti menerbangkan pesawat tanpa pemandu," menurut polis sambil menambah bahawa para pengguna dron seharusnya merujuk kepada laman OneMap.sg atau memanfaatkan aplikasi OneMap untuk mengetahui tentang kawasan-kawasan di mana dron tidak dibenarkan kecuali dengan permit.

Selain itu, dron yang beratnya melebihi 250g secara keseluruhan mesti didaftarkan sebelum digunakan di Singapura.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan