Lelaki 67 tahun tikam diri sendiri di pusat beli-belah Sun Plaza
Cik Rohani sedang bertugas apabila beliau melihat seorang lelaki yang hanya memakai seluar pendek secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam dirinya sendiri.

(Gambar: Facebook/Maximus James)
Menurut Cik Rohani, lelaki itu duduk di atas lantai di pusat beli-belah Sun Plaza di Sembawang, di luar gerai makan Stuff'd dan Hugabo di tingkat satu.
"Saya terkejut," kata pengurus kakitangan di McDonalds, sambil menambah kejadian itu berlaku pada sekitar 1.50 petang tadi (15 Jan).
Seorang lelaki dalam pertengahan usia dengan pantas menendang ke tepi pisau itu manakala beberapa orang lain menghubungi polis dan pengawal keselamatan pusat beli-belah berkenaan.
"Saya terkejut kerana perkara sedemikian berlaku di sebuah pusat beli-belah; perkara ini lazimnya tidak berlaku di Singapura," kata seorang pembeli belah yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Tan.
Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, polis menyatakan mereka menjawab panggilan minta bantuan pada kira-kira 2.05 petang.
"Sebaik sahaja polis tiba di tempat kejadian, para pegawai menemui seorang lelaki berusia 67 tahun terbaring tidak sedarkan diri dengan kecederaan yang dipercayai perbuatannya sendiri," kata polis.
"Dia dibawa ke hospital dan kini sedang menjalani rawatan."
Menurut polis, siasatan masih dijalankan.
Apabila Mediacorp tiba di tempat kejadian pada 4.00 petang, beberapa pegawai polis kelihatan sedang membersihkan pelekat yang digunakan untuk menghadang kawasan itu sementara seorang pekerja pembersihan sedang membersihkan kesan darah.
Pihak Mediacorp juga melihat kotak yang dilabel 'pisau' dan barangan yang berukuran 15 sentimeter dibalut dan diletakkan atas kotak berkenaan.
Memandangkan polis menghadang kawasan itu, salah satu daripada pintu keluar pusat beli-belah itu tidak boleh digunakan sehingga sekitar 4.00 petang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.