Lelaki 67 tahun diberkas atas kesalahan membunuh selepas wanita mati ditikam di Yishun
Seorang lelaki berusia 67 tahun diberkas atas kesalahan membunuh pada Rabu (24 Sep) selepas berlaku pertikaian berhubung bunyi bising di sebuah blok perumahan di Yishun.
Seorang wanita warga Vietnam berusia 31 tahun dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri di mana beliau kemudian meninggal dunia, menurut polis.
Lagi dua orang juga dibawa ke hospital iaitu suspek dan seorang lelaki berusia 33 tahun.
Polis berkata pihaknya dikerahkan ke tempat kejadian di Blok 323 Yishun Central pada kira-kira pukul 7.25 pagi pada Rabu.
"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, polis melihat seorang wanita dan dua lelaki terbaring dalam kecederaan di koridor di tingkat enam," menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) sambil menambah suspek dipercayai menggunakan pisau untuk mencederakan pasangan itu.
"Siasatan awal mendapati satu pertikaian timbul akibat bunyi bising," menurut polis.
Apabila Mediacorp tiba di tempat kejadian pada pukul 10.40 pagi, terdapat sekurang-kurangnya lima kereta polis di blok berkenaan.
Tangga berhampiran lobi lif dihadang, dengan kesan tompokan darah boleh dilihat di luar lif.
Beberapa pegawai polis juga dilihat di koridor tingkat enam blok berkenaan, dan para wartawan dinasihatkan supaya menghindari kawasan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.