Lelaki, 66 tahun, yang disyaki kendalikan pusat perjudian ditangkap selepas diburu hampir 4 tahun
Pasukan Polis Singapura (SPF) memberkas seorang lelaki berusia 66 tahun yang diburu selama hampir empat tahun.

Barangan berkait perjudian yang dirampas polis dalam satu serbuan berbilang agensi di Geylang. (Gambar fail: Pasukan Polis Singapura).
Lelaki tersebut ditangkap di Malaysia oleh Polis Diraja Malaysia dan diserahkan kepada SPF pada 28 Februari lalu, menurut kenyataan media SPF pada Khamis (13 Mac).
Dia dipercayai merupakan pemimpin bagi satu kumpulan jenayah terancang tempatan.
SPF menyatakan bahawa lelaki itu adalah antara 19 individu yang ditangkap dalam satu operasi serentak di seluruh Singapura pada 24 Oktober 2018, dan didakwa di mahkamah pada 10 Mac 2021 bagi kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka.
"Kumpulan itu dipercayai beroperasi secara sistematik, dengan rangkaian pengendali, pembantu, pemasar dan pemberi maklumat yang ditempatkan di kawasan strategik bagi mengesan kehadiran polis," menurut SPF.
Operasi tersebut melibatkan serbuan serentak di lebih 10 lokasi di kawasan seperti Geylang, Sengkang, Bedok dan Ang Mo Kio.
Lelaki itu juga didakwa bagi kesalahan jenayah terancang dan dadah.
Namun, dia melarikan diri dan gagal hadir ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan berkait pelibatannya dalam mengendalikan pusat perjudian haram di Lorong 14 dan 16 Geylang, tambah SPF.
Mahkamah Negara mengeluarkan waran tangkap terhadapnya, dan pada 13 Februari 2025, Polis Diraja Malaysia pula memberitahu SPF bahawa lelaki tersebut sudah ditangkap di Malaysia atas kesalahan imigresen dan dikenakan denda RM3,000 (S$903).
Pihak berkuasa Malaysia menyerahkan lelaki itu kepada SPF pada 28 Februari dan dia dibawa ke mahkamah pada 1 Mac untuk menghadapi tuduhan, menurut SPF.
Di bawah Akta Jenayah Terancang, sesiapa yang sabit kesalahan sebagai ahli kumpulan jenayah terancang tempatan boleh dikenakan denda hingga S$100,000, penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka, sesiapa yang sabit kesalahan mengurus atau membantu menguruskan tempat yang digunakan sebagai rumah perjudian terbuka boleh dikenakan denda antara S$5,000 hingga S$50,000 dan penjara hingga tiga tahun.
Lelaki itu juga berdepan hukuman penjara dan denda atas tuduhan kesalahan dadah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.