Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 62 tahun mengaku bersalah tikam pegawai jarak selamat; ibu jari mangsa hampir putus

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 62 tahun pada Isnin (7 Mac) mengaku menikam dan mengelar seorang pegawai penguat kuasa jarak selamat di Penghubung Taman Sungei Serangoon pada 2020 sehingga hampir putus ibu jari mangsa.

Ahirrudin Al-Had Haji Arrifin mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, memiliki senjata berbahaya dan melanggar peraturan COVID-19 dengan tidak memakai pelitup.

Mangsa yang berusia 38 tahun adalah pekerja Lembaga Taman Negara (NParks) dan mengalami kecederaan parah di kedua-dua belah tangan serta dada, lengan dan kulit kepala. Mangsa terpaksa menjalani pembedahan am dan pembedahan pada tangannya. Mangsa juga diberikan cuti sakit selama 89 hari.

Mahkamah diberitahu bahawa pada pagi 4 Mei 2020, Ahirrudin sedang mengayuh basikal di taman berkenaan dengan niat memetik daun pandan untuk dimasak. Dia tidak memakai pelitup sekalipun ketika itu Singapura sedang menguatkuasakan tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Ahirrudin membawa dua kerambit berukuran 10 sentimeter yang disembunyikan di bahagian dalam bawah tapak kasutnya, dengan niat untuk menggunakannya bagi memotong daun pandan.

Dia juga membawa tongkat kayu berukuran 1 meter yang mengandungi bilah sepanjang 20.8sentimeter pada bahagian hujung tongkat tersebut yang disembunyikan oleh sarung kayu dengan penyumbat getah.

Mangsa ketika itu sedang memandu melalui taman tersebut dengan menaiki "buggy" bersama seorang lagi pegawai jarak selamat apabila mereka ternampak tertuduh yang tidak memakai pelitup dan meletakkan daun pandan di dalam bakul basikalnya.

Dua pegawai itu menghampiri tertuduh lalu memberitahunya bahawa dia tidak dibenarkan memotong daun pandan di taman berkenaan dan menyuruhnya memakai pelitup.

Ahirrudin enggan menuruti arahan para pegawai tersebut.

Mangsa mengambil gambar tertuduh melanggar peraturan COVID-19 dan meminta butiran peribadinya yang enggan diberikan oleh tertuduh.

Ahiruddin menggunakan bilah daripada tongkat kayu itu untuk menikam sebelah kiri dada mangsa. Dia kemudian masuk ke dalam 'buggy' itu lalu menikam mangsa sekurang-kurangnya dua kali lagi.

Pihak pendakwa mengusulkan hukuman penjara antara 12 hingga 15 tahun dan berhujah bahawa kepentingan awam adalah salah satu pertimbangan utama semasa menjatuhkan hukuman.

Tindakan tertuduh "mengancam" keselamatan dan keyakinan para pegawai jarak selamat.

Menurut seorang doktor, tikaman pada bahagian dada mangsa boleh membawa maut jika bilah itu menusuk jantungnya.

Dalam rayuannya, peguam bela Ahiruddin mengatakan bahawa anak guamnya sangat menyesali atas perbuatannya itu dan telah menyerang mangsa secara terburu-buru. Peguam bela mengusulkan hukuman penjara antara 8 hingga 10 tahun.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan