Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 62 tahun dijel 57 bulan; serah diri selepas 14 tahun bersembunyi di M'sia

Anggaran Waktu Membaca:


SINGAPURA: Seorang lelaki melarikan diri ke Malaysia dan bersembunyi di negara itu selama 14 tahun selepas rakan-rakan subahatnya diberkas pada 2003 atas kesalahan pecah rumah dan mencuri.

Haron Ismail, 62 tahun, pulang ke Singapura untuk menyerah diri pada 2017 dan dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun dan sembilan bulan atas jenayahnya pada Jumaat (14 Jan). Dia memberitahu mahkamah bahawa "hatinya tidak tenteram" ketika berada di Malaysia dan "rasa bersalah sentiasa menghantuinya".

Haron mengaku bersalah atas tiga tuduhan pecah rumah untuk mencuri dan merompak pada sebelah malam, dengan tiga lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah mendapati Haron bersubahat dengan dua lelaki lain, Abdul Karim Mohamed dan Rusli Awang.

Pada 24 Nov 2002, ketiga-tiga lelaki itu pergi ke bangunan Yen San di 268 Orchard Road untuk memecah masuk pejabat dan mencuri wang tunai.

Abdul Karim mencuri peti besi yang mengandungi wang tunai sebanyak S$20,000 daripada sebuah pejabat di bangunan tersebut sementara Haron menunggu di dalam sebuah van di tempat letak kereta dan Rusli pula bertindak selaku pengawas.

Sekalipun selepas mangsa membuat aduan polis, pihak berkuasa tidak berjaya menemui wang tunai dan tiada bayaran balik dibuat.

Pada 5 Jan 2003, ketiga-tiga lelaki itu memasuki Adelphi Building di 1 Coleman Street dengan niat untuk memecah masuk pejabat dan mencuri wang tunai.

Abdul Karim mengumpil pintu pejabat menggunakan pahat untuk mencuri peti besi benilai S$500, mata wang asing bernilai sekitar S$10,000 dan dua syiling emas bernilai S$2,000.

Pada 29 Apr 2003, ketiga-tiga lelaki itu melakukan jenayah serupa di Great World City, dengan Haron menunggu dalam van dan Rusli bertindak sebagai pengawas sedang Abdul Karim memecah masuk pejabat untuk mencuri S$127.25 dan sejumlah dokumen.

Abdul Karim dan Rusli sudahpun diberkas. Haron bagaimanapun melarikan diri ke Malaysia pada Mei 2003 dan tidak pulang ke Singapura untuk mengelak daripada ditangkap.

Pada 3 Jul 2017, Haron bagaimanapun memutuskan untuk pulang ke Singapura dan dia menyerah diri di Pusat Pemeriksaan Woodlands. Dia kemudian diberkas dan dibebaskan dengan ikat jamin polis sehari kemudian.

Atas kesalahan pecah rumah untuk mencuri pada sebelah malam, Haron boleh dihukum penjara antara dua hingga 14 tahun dan sebat.

Bagi kesalahan pecah rumah untuk melakukan kecurian, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan dirotan.

Bagaimanapun, Haron tidak boleh disebat disebabkan oleh usianya yang melebihi 50 tahun.

CNA/FA/fa

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan