Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 61 tahun maut selepas terjangkit COVID-19; alahan mungkin disebabkan ubat tradisional Cina

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki yang meninggal dunia pada usia 61 tahun setelah mengalami tindak balas alahan yang mengancam nyawa, mungkin disebabkan oleh pil ubat tradisional Cina (TCM) yang diambilnya setelah diuji positif bagi COVID-19.

Encik Koh Choon Lim, seorang rakyat Singapura, meninggal dunia di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada 29 Julai 2022, selang dua hari selepas mengambil empat kapsul ubat Lianhua Qingwen Jiaonang.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyatakan dalam satu makluman pada November 2021 bahawa ia meluluskan sesetengah produk Lianhua Qingwen untuk melegakan simptom selesema. Ia bagaimanapun tidak diluluskan untuk merawat atau melegakan gejala COVID-19.
Dalam satu lagi makluman yang dikeluarkan pada Disember 2021, HSA menyatakan bahawa Lianhua Qingwen Jiaonang didapati mengandungi bahan kuat ephedrine dan pseudoephedrine, yang digunakan untuk merawat tekanan darah rendah dan boleh mendatangkan kesan sampingan seperti kadar degupan jantung tidak teratur, muntah-muntah dan kepeningan.

APA YANG BERLAKU?

Semasa siasatan dilancarkan ke atas kematian Encik Koh pada Rabu (26 Apr), mahkamah diberitahu bahawa Encik Koh berasa kurang sihat dan kepeningan pada 18 Julai 2022.

Anak lelakinya kemudian membawanya ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan, tetapi beberapa hari kemudian pada 26 Julai 2022, beliau mendapati Encik Koh berasa letih dan lesu.

Setelah mengesyaki bapanya mungkin dijangkiti COVID-19, anak lelakinya melakukan ujian ART yang menunjukkan garisan yang samar-samar. Encik Koh kemudian mengambil dua pil Panadol Extra lalu tidur.

Pada pagi keesokan harinya, beliau melakukan satu lagi ujian ART, yang mengesahkan bahawa beliau diuji positif COVID-19. Beliau kemudian bangun dari tidurnya dengan rasa pening sedikit dan sakit tekak.

Pada 11.30 malam pada 27 Julai 2022, Encik Koh mengambil empat kapsul Lianhua Jingwen Jiaonang, iaitu produk herba bagi melegakan simptom demam selesemanya.

Mahkamah diberitahu bahawa dia pernah mengambil pil tersebut sebelum itu untuk "menghapuskan kepanasan dalam tubuhnya".

Encik Koh bangun pada 2.00 pagi pada 28 Julai 2022 dan mengambil dua pil Panadol sebelum tidur semula, tetapi terjaga dari tidurnya sekitar 4.30 pagi dengan rasa kurang selesa. Dia berasa seolah-olah demam dan tidak mampu bertutur dengan jelas disebabkan sakit tekaknya.

Warisnya kemudian membawa Encik Koh ke klinik, di mana doktor tersebut mendapati bibir Encik Koh bengkak. Doktor tersebut menjelaskan bahawa kesan bengkak itu bukan disebabkan oleh COVID-19, tetapi sebaliknya tindak balas alahan lalu memberi Encik Koh dua suntikan.

Doktor itu menasihati Encik Koh supaya pergi ke hospital untuk melakukan pemeriksaan susulan, tetapi Encik Koh enggan berbuat demikian.

Namun, apabila anak lelaki Encik Koh cuba berbual dengannya pada lewat tengah hari itu di rumah, warga emas itu kelihatan tidak tentu arah.

Keluarga Encik Koh kemudian segera membawanya ke Jabatan Kecemasan Hospital Tan Tock Seng.

Dia dipindahkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada 29 Julai 2022, tetapi keadaannya memburuk.

Dia disahkan meninggal dunia pada hari yang sama, dengan punca awal kematiannya disebabkan oleh kegagalan kardiorespiratori sementara menunggu siasatan lanjut.

Punca kematiannya kemudian dimuktamadkan sebagai anafilaksis dan jangkitan saluran pernafasan COVID-19, di samping keadaan perubatan lain yang juga wujud. Anafilaksis adalah tindak balas alahan yang mengancam nyawa.

Pil TCM disyaki adalah punca anafilaksis, tetapi ia tidak boleh disahkan dalam proses bedah siasat, jelas pegawai penyiasat kepada mahkamah.

Polis tidak menjumpai sebarang bukti perbuatan khianat berhubung kematian Encik Koh dan mendapati COVID-19 adalah punca utama kematiannya itu.

Anak lelaki Encik Koh serta isterinya menghadiri perbicaraan kes tersebut, dengan anak lelakinya itu mengajukan pelbagai soalan. Dia menarik perhatian bahawa pil yang terkait dalam kes tersebut tersedia di semua klinik di Singapura dan seseorang tidak perlu preskripsi doktor untuk mendapatkannya.


Koroner Negara Adam Nakhoda mengarahkan siasatan lanjut dijalankan, termasuk bagi pegawai penyiasat untuk mendapatkan pil TCM daripada keluarga Encik Koh, serta kenyataan daripada jururawat atau doktor dalam wad tersebut, yang kali terakhir memeriksa nadi dan keadaan tubuh Encik Koh.

Beliau kemudian akan memutuskan sama ada siasatan lanjut diperlukan, di mana dapatannya akan didedahkan selepas itu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan