Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 61 tahun akan didakwa; keluarkan komen berbaur perkauman, tidak sensitif terhadap agama lain

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 61 tahun akan didakwa; keluarkan komen berbaur perkauman, tidak sensitif terhadap agama lain

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 17 May 2022 10:24AM Dikemas Kini : 17 May 2022 01:28PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 61 tahun akan didakwa pada Selasa (17 Mei) berhubung beberapa insiden di mana dia dipercayai mengeluarkan komen-komen yang berbaur perkauman dan tidak sensitif mengenai agama lain.

Lelaki itu juga akan didakwa atas tuduhan memiliki filem-filem lucah dalam telefon bimbitnya, menurut polis dalam satu kenyataan media pada Isnin malam (16 Mei).

Dia dituduh mengeluarkan komen-komen yang berbaur perkauman terhadap seorang lelaki berusia 26 tahun di kawasan Angullia Park pada 5 Jun tahun lalu.

Menurut polis, lelaki itu juga akan didakwa dengan tuduhan mengeluarkan komen-komen tidak sensitif tentang agama lain semasa kuliah di Politeknik Ngee Ann pada 28 Jul 2017.

Dia juga akan didakwa kerana memberikan jawapan tidak sensitif tentang agama lain dalam sebuah forum online antara 10 Ogos dengan 13 September 2020.

Jika didapati bersalah kerana dengan sengaja menyinggung perasaan kaum lain, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa saja yang didapati bersalah kerana melakukan perbuatan yang boleh menjejas keharmonian antara kumpulan agama yang berbeza boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan memiliki filem lucah, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 12 bulan, didenda sehingga S$40,000, atau kedua-duanya sekali.

Polis menegaskan bahawa pihaknya "memandang serius terhadap perbuatan yang boleh menggugat keharmonian kaum di Singapura".

"Sesiapa saja yang mengeluarkan komen atau bertindak dengan cara yang boleh mencetuskan permusuhan antara kaum atau kumpulan agama yang berbeza di Singapura akan ditangani mengikut undang-undang," tegas polis.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan