Lelaki 60 tahun didenda kerana tunjuk kemaluan kepada budak 12 tahun
Seorang lelaki 60 tahun didenda S$3,000 hari ini (8 Apr) kerana mendedahkan kemaluannya kepada budak lelaki berusia 12 tahun yang kurang daya intelek.
(Gambar hiasan: Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang lelaki 60 tahun didenda S$3,000 hari ini (8 Apr) kerana mendedahkan kemaluannya kepada budak lelaki berusia 12 tahun yang kurang daya intelek.
Chua Swee Chiang, seorang pengurus rumah, berada di sudut senaman bersebelahan sebuah taman permainan pada malam 16 April 2018.
Budak lelaki itu, seorang murid yang menuntut di sebuah sekolah bagi kanak-kanak berkeperluan khas, berada di taman permainan tersebut bersama ibu serta adik lelakinya yang berusia lima tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Zhou Yang memberitahu mahkamah bahawa semasa kejadian, Chua memakai baju putih dan seluar pendek hitam yang longgar tanpa pakaian dalam sambil duduk di atas sebuah mesin basikal.
Sekitar jam 10.00 malam, ibu budak itu perasan Chua sedang senyum kepada anak lelakinya.
Wanita itu kemudian menyedari bahawa kemaluan Chua terdedah melalui ruang terbuka pada seluarnya dan beliau dalam keadaan terkejut memalingkan arahnya ke tempat lain. Bagaimanapun, beliau melihat semula ke arah Chua buat dua kali lagi dan ternampak kemaluan lelaki itu masih terdedah.
Kedua-dua ibu dan anak "berasa jengkel", menurut mahkamah. Chua mengaku dia memang berniat untuk mendedahkan kemaluannya kepada budak itu.
Ibu budak lelaki itu bersemuka dengan Chua, yang kemudian melarikan diri. Dia kemudian diberkas.
Pada awalnya, Chua merayu supaya kesnya dibicarakan namun selepas itu mengaku bersalah terhadap satu tuduhan melakukan perbuatan lucah di khalayak ramai.
Pendakwa raya memberitahu mahkamah bahawa usia mangsa dan keadaannya perlu diberi perhatian yang sewajarnya.
Chua boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan, didenda atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.