Lelaki 60 tahun didakwa atas percubaan membunuh di Choa Chu Kang
Seorang lelaki berusia 60 tahun didakwa atas percubaan membunuh seorang lelaki 52 tahun di blok HDB di Choa Chu Kang pada hujung minggu lalu.
(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 60 tahun didakwa atas percubaan membunuh seorang lelaki 52 tahun di blok HDB di Choa Chu Kang pada hujung minggu lalu.
Ong Eng Siew pada Isnin (14 Jun), dikenakan satu tuduhan atas percubaan membunuh Encik Ku Teck Eng pada kira-kira pukul 9.30 malam pada Sabtu (12 Jun) di kolong Blok 407 Choa Chu Kang Avenue 3.
Ong juga dituduh berkali-kali menikam Encik Ku dengan sebilah pisau.
Pihak pendakwa berjaya memohon supaya Ong ditahan reman. Dia akan dibawa keluar untuk disiasat bagi mencari bukti dan bagi siasatan lanjut di tempat kejadian.
Ong akan dihadapkan semula ke mahkamah pada minggu depan.
Polis menyatakan dalam satu kenyataan sebelum ini bahawa mereka menangani kes serangan dengan pisau di sebuah lokasi pada kira-kira pukul 9.30 malam pada 12 Jun.
Mereka menemui mangsa dengan kesan tikaman di tempat kejadian dan dia dibawa dalam keadaan sedar ke hospital. Siasatan awal mendedahkan bahawa mangsa mengenali Ong, namun tiada butiran lanjut diberikan di mahkamah kerana ia masih di tahap awal perbicaraan.
Ong dipercayai melarikan diri sebelum polis tiba, namun dia ditangkap dalam masa dua jam setelah jenayah itu dilaporkan, menurut polis.
Jika sabit kesalahan atas percubaan membunuh, Ong boleh dihukum penjara seumur hidup. Dia tidak boleh dikenakan hukuman sebat kerana dia berusia lebih 50 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.