Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 59 tahun dihukum penjara 5 bulan; tikam isteri dengan keris selepas tuduh curang

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Apabila perselisihan yang lama dengan isterinya kembali tercetus, Zahar Ahamad menyambar sebilah keris lalu menikam bahagian leher wanita itu.

Mangsa cuba mengelak tetapi mengalami luka di bahunya.

Zahar, 59 tahun, warga Singapura, dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan pada Isnin (23 Mei) selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah dan melanggar Perintah Perlindungan Peribadi (PPO).

Dua tuduhan serupa turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Pada Julai 2019, Zahar dan mangsa, Cik Khatijah Ali, 38 tahun, bertengkar di rumah mereka kerana dia tidak berpuas hati kerana mangsa menggunakan telefon bimbitnya.

Sejak sekian lama, Zahar mengesyaki mangsa bersikap curang terhadapnya.

Semasa bertengkar, Zahar menumbuk mata kiri wanita itu.

Tidak lama kemudian, Zahar bersemuka dengan mangsa sekali lagi untuk bertanya sama ada isterinya curang terhadapnya.

Apabila Cik Khatijah menengkingnya, Zahar terus menyambar sebilah keris lalu mengacukannya pada leher wanita itu.

Wanita itu cuba mengelak tetapi terkaman Zahar terkena bahu kiri wanita itu lalu menyebabkannya berdarah.

Menurut laporan perubatan, mangsa mengalami parut sepanjang 3 sentimeter.

Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak menyatakan saiz keris tersebut.

Ketika kesalahan itu dilakukan, Zahar sudah dikenakan PPO sejak Disember 2007.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Kamala Ponnampalam berkata senjata digunakan untuk menyerang mangsa adalah fakta mengerikan yang "mahkamah tidak boleh mengabaikannya", sekalipun kemudaratannya adalah rendah.

Hakim turut menegaskan bahawa tiada sebab untuk bertindak ganas dalam pertikaian rumah tangga.

Memandangkan serangan itu berlaku di rumah mangsa sendiri, di mana mangsa tidak mampu untuk bertindak balas, juga memburukkan lagi kesalahan itu.

Seseorang yang didapati bersalah kerana menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda, disebat atau dikenakan gabungan hukuman tersebut.

Sesiapa saja yang disabit kesalahan melanggar PPO boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$2,000, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan