Lelaki 57 tahun didakwa kerana rosakkan poster kempen PAP di Hougang, ganggu relawan pada Hari Mengundi
Seorang lelaki berusia 57 tahun akan didakwa di mahkamah pada Jumaat (4 Jul) dengan pelbagai tuduhan selepas dia merosakkan bahan kempen Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Hougang dan membuat kenyataan ugutan terhadap sukarelawan parti tersebut.
(Gambar fail: TODAY)
Polis menyatakan dalam satu kenyataan pada Khamis (3 Jul) bahawa lelaki itu dipercayai merosakkan bahan kempen pilihan raya di Hougang Avenue 5 pada 3 Mei.
Ini termasuk mematahkan tiang bendera dan merosakkan poster kempen. Mediacorp difahamkan bahawa bahan kempen itu adalah milik Parti Tindakan Rakyat (PAP).
“Dia juga dikatakan menggunakan kata-kata ugutan, kesat dan menghina terhadap sukarelawan parti yang berada di tempat kejadian dan menolak dua daripada sukarelawan parti,” kata polis, tanpa menyatakan nama parti tersebut.
Lelaki itu dipercayai mabuk ketika itu dan kemudian diberkas oleh para anggota polis.
Lelaki itu akan didakwa dengan tuduhan melakukan perbuatan nakal, mengganggu dengan sengaja, menggunakan kekerasan jenayah dan mencetuskan kemarahan awam semasa mabuk.
Rakyat Singapura keluar mengundi pada 3 Mei.
SMC Hougang, kawasan undi paling lama dikuasai pembangkang di Singapura, ditandingi oleh calon Parti Pekerja (WP) Dennis Tan dan Marshall Lim dari PAP.
Encik Lim memberitahu Mediacorp pada 3 Mei bahawa beliau lewat tiba ke perhimpunan PAP di Stadium Bedok malam itu kerana beliau sedang menangani satu insiden di pejabat cawangannya, di mana pihak polis telah dihubungi.
"Beberapa perbuatan merosakkan harta benda awam, kekerasan fizikal digunakan terhadap beberapa orang aktivis dan sukarelawan saya, tetapi perkara itu kini sedang disiasat, dan kami menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan kerja mereka," katanya kepada para penyokong parti ketika itu.
Beliau juga memohon maaf kerana membuat mereka menunggu sementara beliau menguruskan perkara itu sebelum tiba di lokasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.