Lelaki 55 tahun didakwa kerana tampar, tolak pekerja wanita stesen minyak apabila diminta pakai pelitup
Seorang lelaki, yang dituduh menampar seorang atendan stesen minyak setelah pekerja tersebut menasihatkannya supaya memakai pelitup, didakwa atas tiga kesalahan pada Rabu (22 Apr).

Petikan gambar dari Google Street View yang menunjukkan stesen minyak Esso di 1 Jervois Road.
SINGAPURA: Seorang lelaki, yang dituduh menampar seorang atendan stesen minyak setelah pekerja tersebut menasihatkannya supaya memakai pelitup, didakwa atas tiga kesalahan pada Rabu (22 Apr).
Alan Lim, 55 tahun, pergi ke Stesen Khidmat Esso Jervois di Jervois Road pada lewat petang tanggal 12 April, menurut kertas pertuduhan.
Berdasarkan kenyataan polis minggu lalu, seorang atendan stesen minyak Esso menasihati Lim supaya memakai pelitup sebelum memasuki kedai stesen minyak berkenaan.
Lim yang enggan menuruti nasihat tersebut, menurut polis, naik berang dan didakwa menampar muka wanita berkenaan.
Lim didakwa dengan satu tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja dengan menampar pipi kiri wanita itu. Dia juga didakwa memaki mangsa dan menolak wanita itu di bahu dengan menggunakan kedua-dua tangannya.
Lim akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada bulan depan bagi sidang praperbicaraan.
Jika sabit kesalahan secara sengaja menyebabkan kecederaan, dia boleh menghadapi hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Dia boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,500 atau kedua-duanya sekali kerana menggunakan kekerasan jenayah. Bagi kesalahan memaki wanita itu, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.