Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 54 tahun maut susuli insiden di bilik pemadat sampah di Punggol

Seorang lelaki 54 tahun maut hari ini (16 Okt) menyusuli insiden di bilik pemadat pusat pembuangan sampah di Blok 263C Punggol Central.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 54 tahun maut susuli insiden di bilik pemadat sampah di Punggol

Gambar yang tular di media sosial.

Diterbitkan : 16 Oct 2021 02:38PM Dikemas Kini : 16 Oct 2021 05:15PM

SINGAPURA: Seorang lelaki 54 tahun maut hari ini (16 Okt) menyusuli insiden di bilik pemadat pusat pembuangan sampah di Blok 623C Punggol Central.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia menerima panggilan meminta bantuan di blok itu pada sekitar pukul 8.15 pagi tadi.

Seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan maut di tempat kejadian oleh seorang paramedik, menurut polis dalam satu kenyataan berasingan.

"Berdasarkan siasatan awal polis tidak mengesyaki sebarang tindakan berniat jahat. Siasatan polis sedang dijalankan."

Seorang jurucakap Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol memberitahu Mediacorp bahawa ia dimaklumkan tentang insiden "lelaki terperangkap" itu pada pagi tadi.

Individu yang terbabit kemudian dikenal pasti sebagai salah seorang tukang sapu di blok majlis bandaran itu.

"Kami difahamkan daripada pihak yang pertama bertindak bahawa pekerja kami itu malangnya mati disebabkan kecederaannya," kata jurucakap itu.

Majlis bandaran tersebut dan pengerusinya Encik Sharael Taha menyampaikan "salam takziah" kepada keluarga mangsa yang dikenal pasti sebagai Encik Lee dan menyatakan bahawa mereka akan "terus mendampingi" keluarganya untuk mempermudahkan sebarang bantuan yang mungkin diperlukan.

Anggota Parlimen Kawan Undi Punggol Shore, Cik Yeo Wan Ling dan kakitangan majlis bandaran itu juga berada di tempat kejadian untuk menghulurkan bantuan lanjut dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Oleh kerana siasatan sedang dijalankan, kami tidak boleh berkongsi sebarang maklumat," kata jurucakap itu.

Gambar insiden itu yang tular di media sosial menunjukkan para pegawai SCDF dan polis di tempat kejadian, selain beberapa pekerja berpakaian seragam Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol.

Polis turut mengepung bilik pemadat sampah itu.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan