Skip to main content

Singapura

Lelaki 53 tahun dijel 4 minggu; buang pasu bunga dari tingkat 15

Seorang lelaki mabuk yang naik berang apabila mendapati pagar pintu rumahnya dikunci dengan mangga oleh bapanya apabila pulang ke rumah, membuang dua pasu bunga yang berat dari tingkat 15.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 53 tahun dijel 4 minggu; buang pasu bunga dari tingkat 15

Gambar fail: TODAY.

Diterbitkan : 03 Jun 2021 03:05PM Dikemas Kini : 03 Jun 2021 03:06PM

SINGAPURA: Seorang lelaki mabuk yang naik berang apabila mendapati pagar pintu rumahnya dikunci dengan mangga oleh bapanya apabila pulang ke rumah, membuang dua pasu bunga yang berat dari tingkat 15.

Goh Tiong Keng berusia 53 tahun pada Khamis (3 Jun) dihukum penjara empat minggu atas satu tuduhan melakukan tindakan terburu-buru yang membahayakan keselamatan orang lain. Satu lagi tuduhan mabuk di luar flat bapanya turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Goh tinggal bersama bapanya, yang berusia 73 tahun di sebuah flat di Telok Blangah Heights.

Pada sekitar 10.00 malam pada 5 November tahun lalu, Goh pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan mendapati bapanya telah mengunci pagar pintu rumah dengan mangga. Dia mengetuk pintu dan membunyikan loceng.

Bapanya sebaliknya menelefon polis.

Polis yang tiba di rumah bapanya mengarahkan Goh supaya meninggalkan kawasan tersebut sebelum para pegawai meninggalkan tempat kejadian.

Namun, Goh yang marah terhadap bapanya berlegar-legar di luar flat beliau. Dalam keadaan marah, dia membuang dua pasu bunga milik bapanya, menurut pendakwa.

Pasu-pasu bunga itu jatuh di atas tumbuhan-tumbuhan lain dan tidak mencederakan sesiapa.

Polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan bahawa "unit di atas membuang barang" dan sesuatu "menyebabkan bunyi yang kuat" apabila jatuh ke bawah.

Goh diberkas dan sampel darah yang diambil menunjukkan 176mg etanol dalam setiap 100ml darah.

Timbalan Pendakwa Raya Krystle Chiang mengusulkan hukuman penjara sekurang-kurangnya empat minggu selepas mengambil kira hukuman reman dua minggu yang dijalaninya sebelum itu.

Atas kesalahan melakukan tindakan terburu-buru yang boleh membahayakan keselamatan, Goh boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan, atau didenda sehingga S$2,500 atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita