Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 52 tahun mengaku bersalah pantau emel isteri, ancam hantar video lucah kepada majikannya

Seorang penganggur berusia 52 tahun mengaku bersalah pada Isnin (28 Sep) kerana mengganggu jirannya sambil bersenjatakan parang dan mengekori isterinya ketika dalam proses bercerai.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 52 tahun mengaku bersalah pantau emel isteri, ancam hantar video lucah kepada majikannya

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 29 Sep 2020 09:00AM Dikemas Kini : 29 Sep 2020 09:01AM

SINGAPURA: Seorang penganggur berusia 52 tahun mengaku bersalah pada Isnin (28 Sep) kerana mengganggu jirannya sambil bersenjatakan parang dan mengekori isterinya ketika dalam proses bercerai.

Dia pernah memberitahu isterinya bahawa dia akan menghantar video serta gambar isterinya yang dikatakan melakukan perbuatan seksual kepada majikannya jika beliau tidak mahu menyerahkan cincin kahwin dan gelang emas.

Lelaki itu tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti wanita tersebut.

Mahkamah meminta laporan untuk menilai sama ada tertuduh sesuai bagi perintah rawatan wajib kerana seorang ahli psikiatri dari Institut Kesihatan Mental (IMH) mendiagnosisnya dengan psikosis cetusan bahan. Namun, dia bukan tidak berfikiran waras.

Perintah rawatan wajib ditawarkan kepada mereka yang mengalami keadaan kesihatan mental yang mendorong pelaku melakukan kesalahan. Mereka yang didapati layak mesti menghadiri sesi dengan seorang ahli psikiatri yang dilantik mahkamah.

Pada Isnin, lelaki itu mengaku bersalah atas empat tuduhan mengekori, menakut-nakutkan, memiliki senjata ofensif dan melakukan perbuatan nakal.

Empat lagi tuduhan serupa akan dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman pada 27 Oktober.

KAHWIN 2 KALI

Mahkamah diberitahu lelaki itu dan isterinya pertama kali bercerai pada 1991 sebelum berbaik-baik semula pada 2017.

Mereka kemudian merujuk semula dan tinggal bersama sehingga Februari tahun lalu apabila wanita itu memperolehi perintah perlindungan peribadi terhadap lelaki tersebut. Ketika itu, pasangan berkenaan sedang menjalani prosiding penceraian.

Pada 11 Februari tahun yang sama, lelaki itu menghantar rantaian mesej melalui WhatsApp dan mengancam akan mengirimkan bahan lucah kepada majikan wanita tersebut.

Dia juga memberitahu wanita itu: "Anda baik pulangkan cincin dan gelang itu kepada saya esok atau video dan gambar akan tular bahkan di YouTube."

Wanita itu memfailkan aduan polis empat hari kemudian.

Walaupun sedang polis menyiasat kes itu, lelaki tersebut tetap menghantar mangsa emel, mesej dan pesanan suara tanpa henti sepanjang beberapa bulan seterusnya.

Dia juga mendakwa dalam catatan-catatan Facebook bahawa wanita itu tidak setia kepadanya sepanjang perkahwinan mereka.

Mangsa membuat 10 aduan polis secara keseluruhannya terhadap lelaki itu.

Dia didakwa di mahkamah dan dibebaskan dengan ikat jamin tetapi melakukan lagi kesalahan pada 4 Januari tahun ini.

Apabila jiran lelaki itu pulang ke rumah, dia menggunakan parang sepanjang 28 sentimeter untuk menghentak pagar besi jirannya sebelum melemparkan kata-kata kesat dan memaksanya supaya keluar dari rumahnya.

Mangsa menuruti kata lelaki itu tetapi dia mengambil batu dan membalingnya pada cermin depan kereta mangsa.

Polis tiba tidak lama kemudian dan memberkas lelaki itu.

Tiga minggu kemudian, dia kembali ke rumah mangsa dan menghamburkan kata-kata kesat yang ditujukan kepada syarikat lelaki berkenaan. Nama syarikat itu tercetak pada van mangsa yang diletakkan di luar rumahnya.

Dia kemudian membengkokkan plat lesen van tersebut yang berharga S$25 untuk digantikan. Perbuatan itu dirakam oleh kamera litar tertutup.

Ahli psikiatri yang memerika lelaki itu berkata dia mengalami gejala psikotik semasa melakukan tindakan-tindakan agresif terhadap jirannya, yang boleh mempengaruhi pertimbangannya dan kawalan tindakannya.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan