Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 49 tahun dipenjara 2 bulan cabul kehormatan remaja perempuan dalam bas

Dokumen mahkamah menunjukkan Chong Swee Shyan bergerak ke sebelah kanan remaja perempuan dalam seragam sekolah itu kerana dia rasa terdorong untuk menyentuhnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 49 tahun dipenjara 2 bulan cabul kehormatan remaja perempuan dalam bas

Gambar hiasan. (Gambar: Channel NewsAsia)

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 49 tahun dijatuhi hukuman penjara dua bulan pada Jumaat (26 Ogos) atas kesalahan mencabul kehormatan seorang remaja 13 tahun, yang memakai seragam sekolah, di dalam bas sebelum matahari terbit.

Chong Swee Shyan, rakyat Singapura yang bekerja sebagai seorang teknisyen, menaiki khidmat bas 163 yang melakukan perjalanan di Sengkang East Avenue sekitar pukul 6.50 pagi pada 6 Julai tahun lalu.

Dia sedang berdiri di tingkat bawah bas itu, bersama mangsa, yang sedang memakai kemeja T pendidikan jasmani sekolahnya dan skirt yang merupakan sebahagian daripada seragam sekolah.

Remaja itu tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah bagi melindungi identitinya.

Dokumen mahkamah menunjukkan Chong pada awalnya berdiri agak jauh daripadanya tetapi bergerak ke sebelah kanan perempuan itu kerana dia rasa terdorong untuk menyentuh remaja berkenaan.

Dia kemudian dengan sengaja menggosok tangan kirinya pada skirt perempuan itu, di bahagian atas punggung remaja itu.

Apabila remaja perempuan itu memandang lelaki itu, dia tidak menoleh.

Selepas remaja itu memandang ke tempat lain, dia mengulangi tindakannya sebelum turun dari bas itu.

Remaja perempuan itu membuat aduan polis pada 18 Julai tahun lalu, dengan berkata beliau dicabul sedang bas menghampiri Stesen LRT Renjong di Sengkang.

Chong kemudian ditangkap.

Dia menafikan sebarang salah laku pada awalnya dan mengatakan dia terlanggar remaja itu disebabkan pergerakan bas.

Pada Jumaat, dia mengaku bersalah atas satu tuduhan mencabul kehormatan.

Dalam memohon bagi hukuman penjara sekurang-kurangnya tiga bulan, Timbalan Pendakwa Raya Jeremy Bin berkata mangsa dalam kes ini adalah seseorang yang mudah terdedah disebabkan usianya.

"Pesalah itu tidak mungkin tersalah anggap, kerana mangsa memakai seragam sekolah," kata beliau.

Satu lagi faktor yang memburukkan keadaan adalah ia berlaku dalam pengangkutan awam.

Atas kesalahan mencabul kehormatan seseorang di bawah usia 14 tahun, Chong boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda, disebat atau diberi gabungan hukuman ketiga-tiganya sekali.

Dia akan mula menjalani hukuman pada 26 September ini.
Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan