Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 40 tahun didakwa kerana bakar 25 mercun berdekatan blok HDB Yishun

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 40 tahun didakwa kerana bakar 25 mercun berdekatan blok HDB Yishun

Gambar: Singapore Incidents/Facebook

Diterbitkan : 16 Apr 2024 11:08AM Dikemas Kini : 16 Apr 2024 11:09AM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 40 tahun didakwa pada Selasa (16 Apr) kerana dipercayai membakar mercun berdekatan blok HDB di Yishun beberapa hari lalu.

Noor Azhar Abdul Abas, yang dihadapkan ke mahkamah menerusi pautan video sedang dia direman, didakwa atas kesalahan membakar mercun berbahaya.

"Saya rasa kesal ... Saya benar-benar menyesali apa yang sudah berlaku," luah Noor Azhar pada Selasa, sambil menyuarakan hasrat untuk mengaku bersalah.
Menurut dokumen mahkamah, Noor Azhar disyaki membakar sebuah kotak mengandungi 25 mercun Selasa lalu pada kira-kira 10.40 malam.

Insiden tersebut dipercayai berlaku di kawasan berumput dekat Blok 644 Yishun Street 61.

Satu video selama lapan saat yang menunjukkan insiden berkenaan dimuat naik ke platform media sosial TikTok, yang memaparkan mercun dibakar di estet perumahan tersebut. Video itu bagaimanapun telah dipadamkan.

Dalam kenyataan medianya pada Isnin, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pihaknya memberikan respons kepada insiden itu pada sekitar 10.42 malam 9 April.

Melalui siasatan yang dijalankan dan dengan bantuan gambar-gambar yang dipetik kamera polis dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis berjaya mengenal pasti dan memberkas Noor Azhar pada 14 Apr.

"Orang awam diingatkan bahawa ia adalah satu kesalahan untuk memiliki, menjual, mengedar atau mengimport mercun berbahaya," tekan pihak polis.

"Polis tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain sehingga menyebabkan orang awam berasa cemas."

Jika didapati bersalah, Noor Azhar boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda antara S$2,000 dan S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Noor Azhar akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 28 Mei untuk mengaku bersalah.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan