Lelaki 40 tahun akan didakwa kerana buat ancaman bom palsu sasar Bangunan Parlimen, HTX
Seorang lelaki berusia 40 tahun diberkas kerana didakwa membuat dua ancaman bom palsu yang menyasarkan bangunan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) dan Bangunan Parlimen.
Bangunan Parlimen di Singapura. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
Lelaki itu disyaki menyampaikan maklumat palsu mengenai perkara yang berbahaya setelah didakwa menghantar dua ancaman bom dalam dua kejadian berasingan, menurut polis pada Rabu (8 Jul).
Pada 3 Julai, HTX menerima penyerahan borang online yang mendakwa terdapat bom dalam bangunannya. Menurut laman HTX, agensi itu terletak di tingkat 12 bangunan 1 Stars Avenue, yang juga menempatkan Mediacorp.
Empat hari kemudian, polis menyatakan ia menerima laporan bahawa satu kiriman emel tanpa nama dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri yang mendakwa sebuah bom diletakkan di Bangunan Parlimen.
Polis menjalankan pemeriksaan terhadap kedua-dua premis, termasuk pemeriksaan menyeluruh yang sistematik terhadap bangunan dan kawasan sekitarnya, namun tidak menemui "barang yang menimbulkan keprihatinan keselamatan".
Para pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan Divisyen Polis Pusat kemudian mengesahkan bahawa kedua-dua ancaman didakwa dibuat oleh individu yang sama.
Lelaki itu diberkas pada Selasa dan beberapa peranti elektronik dipercayai digunakan untuk membuat ancaman sudah pun dirampas.
Dia akan didakwa di mahkamah pada Khamis kerana menyampaikan maklumat palsu mengenai sesuatu yang berbahaya.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda sehingga S$50,000, atau kedua-duanya sekali.
Polis menyatakan mereka memandang serius semua ancaman keselamatan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mencetuskan kebimbangan awam melalui ancaman palsu, sambil menarik perhatian bahawa tindakan sedemikian menimbulkan keresahan orang ramai dan mengalihkan sumber awam yang berharga untuk tujuan siasatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.