Lelaki 39 tahun, ditangkap cabul kehormatan wanita dalam bas di Bukit Batok
Seorang lelaki 39 tahun ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes mencabul kehormatan, menurut polis hari ini (11 Feb).

Gambar fail.
SINGAPURA: Seorang lelaki 39 tahun ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes mencabul kehormatan, menurut polis hari ini (11 Feb).
Seorang wanita 28 tahun membuat aduan dicabul kehormatan semalam (10 Feb) sedang beliau menaiki sebuah bas awam di Burgundy Rise di Bukit Batok.
Wanita itu mendapatkan bantuan kapten bas dan suspek tersebut ditahan di dalam bas sehingga polis tiba. Dia ditangkap di tempat kejadian.
Siasatan awal menunjukkan bahawa suspek itu mencabul kehormatan mangsa berkenaan semasa dia di tempat duduk di belakangnya, menurut polis.
Suspek akan didakwa di mahkamah esok (12 Feb). Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda, dirotan atau apa jua gabungan hukuman-hukuman berkenaan.
Menurut polis dalam taklimat jenayah tahunannya pada 3 Februari lalu, kes mencabul kehormatan semakin meningkat di Singapura.
Jumlahnya naik 22.2 peratus dengan 1,566 kes dilaporkan tahun lalu berbanding 1,282 kes pada 2016, menurut polis.
Kes mencabul kehormatan dalam pengangkutan awam khususnya melonjak 60.5 peratus, dari 129 kepada 207 kes.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.