Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 36 tahun diberkas; jual 'vape' kepada pelajar di West Mall

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 36 tahun yang menjual pengewap elektronik atau e-pengewap (vape) kepada para pelajar di sebuah kedai runcit di pusat beli-belah kejiranan diberkas awal bulan ini, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA). 

E-pengewap dan komponen berkaitan yang dianggarkan bernilai lebih S$11,000 turut dirampas. 

HSA dalam satu kenyataan media pada Selasa (31 Jan) menyatakan, ia melancarkan operasi di sebuah kedai runcit di West Mall yang terletak di Bukit Batok dan sebuah kediaman di Tampines pada 20 Januari selepas menerima maklumat yang mendakwa kedai tersebut menjual e-pengewap kepada para pelajar. 

"HSA kemudian melancarkan operasi penyamaran untuk memberkas penjual e-pengewap itu. Penjual itu beroperasi dari tempat kerjanya di pusat beli-belah tersebut dan menyimpan barangan terlarang di tempat berkenaan serta di kediamannya," kata seorang jurucakap. 

Lebih 400 e-pengewap dan 350 komponen disita dari dua lokasi tersebut dan lelaki itu kini sedang membantu siasatan. 

HSA menyatakan, ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap sesiapa saja yang melakukan aktiviti haram seperti menjual e-pengewap kepada masyarakat awam, khususnya para belia dan pelajar. 

Perangkaan yang dikeluarkan oleh HSA pada September lalu menunjukkan jumlah individu yang diberkas kerana menggunakan dan memiliki e-pengewap melonjak sepanjang lapan bulan pertama 2022, dengan 3,921 pesalah diberkas oleh pihak berkuasa. 

Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding 4,697 pesalah yang diberkas pada 2021, yang juga lebih tinggi berbanding 1,266 kes pada 2020. 

HSA ketika itu menyatakan 428 individu diberkas kerana menjual e-pengewap antara 2018 hingga Ogos 2022, dengan 91 didakwa sepanjang tempoh yang sama. 

HSA pada Selasa (31 Jan) mengingatkan orang ramai bahawa Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) melarang import, pengedaran, penjualan atau tawaran untuk menjual produk tembakau tiruan. Ini termasuk shisha, tembakau tidak berasap, tembakau kunyah seperti Gutkha, Khaini, Zarda, e-pengewap dan komponen-komponennya. 

Sesiapa yang didapati bersalah kerana menjual, mengimport atau mengedar e-pengewap boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sesiapa yang memiliki, menggunakan atau membeli e-pengewap pula boleh dikenakan denda sehingga S$2,000. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan