Lelaki 35 tahun diberkas atas pembunuhan gadis 19 tahun dilapor hilang pada 2007
Seorang lelaki diberkas kerana membunuh gadis berusia 19 tahun, 13 tahun selepas gadis itu dilaporkan hilang oleh ibunya.
Gambar tidak bertarikh Cik Felicia Teo diterbitkan dalam artikel TODAY pada 27 Jul 2007.
SINGAPURA: Seorang lelaki diberkas kerana membunuh gadis berusia 19 tahun, 13 tahun selepas gadis itu dilaporkan hilang oleh ibunya.
Polis memberkas lelaki berusia 35 tahun itu pada Selasa (15 Dis). Dia dijangka akan dijatuhi hukuman mati pada tengah hari Khamis (17 Dis).
Lelaki itu disyaki menyebabkan kematian Cik Felicia Teo Wei Ling, dengan rakan subahatnya yang merupakan sahabat Cik Teo.
Rakan subahatnya, yang kini berusia 32 tahun, tidak lagi berada di Singapura dan polis sedang berusaha mengesannya.
Cik Teo, yang sepatutnya berusia 32 tahun sekarang, dilaporkan hilang pada 3 Jul 2007 oleh ibunya.
Gadis itu tidak dapat ditemui walaupun selepas siasatan menyeluruh dijalankan ketika itu.
Menurut polis, mangsa terakhir kali dilihat di rumah rakan subahat suspek di Marine Terrace.
Polis menyoal siasat kedua-dua lelaki itu kerana mereka dipercayai adalah orang terakhir yang melihat Cik Teo di flat tersebut.
Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu menegaskan bahawa Cik Teo meninggalkan flat itu pada waktu dini hari 30 Jun 2007 atas kemahuannya sendiri.
Tiada bukti jenayah ditemui selepas pemeriksaan dijalankan ke atas unit tersebut dan selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan berkenaan.
Disebabkan tiada bukti untuk mengaitkan kedua-dua lelaki tersebut dengan kehilangan Cik Teo, kes itu disifatkan sebagai kes orang hilang dan warta polis dikeluarkan untuk mencarinya.
Dalam kenyataannya, polis menerangkan bahawa laporan orang hilang yang belum diselesaikan akan disemak semula secara berkala untuk mencari bahan bukti.
Namun semakan yang dijalankan tidak menemui bukti baru sehingga kes tersebut dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) selepas semakan terkini pada Julai tahun ini, sebagai sebahagian daripada proses yang dijalankan polis selama ini untuk menyelesaikan kes-kes orang hilang.
Bukti baru ditemui apabila para penyiasat berhasil menemui barang dipercayai milik Cik Teo semasa beliau dilaporkan hilang.
Siasatan awal mendedahkan bahawa beliau meninggal dunia sebelum aduan dibuat pada awal Julai 2007 dan dua lelaki itu dipercayai menghapuskan mayatnya.
Polis mengaitkan salah satu barang milik Cik Teo dengan suspek yang berusia 35 tahun itu dan pihak polis akan meneruskan usaha mencari jasad Cik Teo.
Hukuman bagi kesalahan membunuh adalah hukuman mati.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.