Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 34 tahun dihukum penjara; buka akaun bank guna butiran Singpass mangsa penipuan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura yang berhutang dengan tailong disebabkan oleh tabiat perjudiannya akhirnya bekerja dengan sebuah sindiket penipuan untuk mendapatkan akaun bank dan butiran Singpass.

Tertuduh dikaitkan dengan pelbagai penipuan bernilai sekitar S$151,500 melibatkan 36 mangsa.

Dia melarikan diri ke Malaysia tetapi diberkas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor Bahru kerana menjadi orang tengah bagi sindiket penipuan tersebut dan dia kemudian diserahkan kembali kepada pihak berkuasa Singapura.

Muhammad Tarmidzi Tahir, 34 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun dan empat bulan pada Khamis (13 April).

Dia mengaku bersalah atas empat tuduhan termasuk menipu,
menyimpan hasil jenayah dan membantu penipu lain mengakses akaun bank secara haram.

Lagi tiga tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Tarmidzi berhutang dengan tailong sejak 2020. Dia menghubungi seorang lelaki yang dikenali sebagai Alex untuk bertanya bagaimana dia boleh melunaskan hutangnya.

Tarmidzi bersetuju untuk mendapatkan akaun bank dan butiran Singpass supaya Alex boleh mengurangkan hutangnya dan meraih keuntungan untuk dirinya sendiri.

Selama setahun sejak November 2021, Tarmidzi mencari orang di Malaysia dan Singapura yang sanggup menyerahkan butiran akaun bank dan SingPass mereka.

BAGAIMANA DIA MEMPEROLEHI AKAUN TERSEBUT

Tarmidzi akan memuat naik mesej ke Telegram untuk menawarkan wang tunai jika ada yang sanggup menjual akaun bank dan butiran Singpass.

Setiap akaun bank boleh meraih S$1,000 hingga S$1,500, manakala akaun Singpass pula boleh memperolehi S$2,000. Jika sesiapa bertanya tentang apa yang akan dilakukan dengan butiran mereka itu, dia akan berkata bahawa ia adalah untuk pendaftaran visa pelancong atau bagi tujuan pengiriman wang.

Tarmidzi merujukkan tujuh orang kepada Alex. Dia akan membuka akaun bank menggunakan butiran Singpass atas arahan Alex, dan diberitahu oleh Alex bahawa lima hingga enam akaun bank boleh dibuka dengan menggunakan hanya satu akaun Singpass.


Akaun-akaun bank yang dibuka itu akan digunakan untuk menerima pindahan wang sebanyak S$151,509 daripada 36 mangsa pelbagai penipuan.

Tarmidzi juga membuka akaun dengan Commerce International Merchant Bankers Berhad (CIMB), di mana ia digunakan oleh sindiket itu untuk menerima wang daripada 14 mangsa penipuan kerja. Jumlah keseluruhan sebanyak S$176,000 dimasukkan ke dalam akaun itu.

MELARIKAN DIRI KE MALAYSIA

Pada 14 Ogos, 2022, Tarmidzi melarikan diri ke Johor Bahru, Malaysia. Satu warta polis dikeluarkan terhadapnya tidak lama kemudian.

Tiga bulan kemudian, Polis Diraja Malaysia memberkasnya di sebuah kompleks apartmen di Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Polis belum lagi berhasil untuk mengenal pasti identiti Alex dan para anggota sindiketnya.

Tarmidzi juga mengaku menguruskan rokok seludup, yang cukainya dianggarkan bernilai S$1.28 juta.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan