Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 33 tahun didakwa tipu pelaburan nikel bernilai S$1 bilion

Pengarah dua syarikat yang menjadi tumpuan kes penipuan besar-besaran didakwa di mahkamah pada Isnin (22 Mac) dengan dua tuduhan menipu dan dua tuduhan perdagangan palsu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 33 tahun didakwa tipu pelaburan nikel bernilai S$1 bilion

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 23 Mar 2021 10:08AM Dikemas Kini : 23 Mar 2021 10:10AM

SINGAPURA: Pengarah dua syarikat yang menjadi tumpuan kes penipuan besar-besaran didakwa di mahkamah pada Isnin (22 Mac) dengan dua tuduhan menipu dan dua tuduhan perdagangan palsu.

Ng Yu Zhi, 33 tahun, yang mengendalikan Envy Asset Management (EAM) dan Envy Global Trading (EGT), didakwa mengumpul dana daripada para pelabur untuk membeli nikel dari Poseidon Nickel Limited dan memperdayakan para pelabur untuk membeli sebahagian kontrak perdagangan hadapan EGT melalui BNP Paribas.

Syarikat Ng sebenarnya tidak membeli nikel dan kontrak perdagangan hadapan itu tidak wujud sama sekali, kata para pendakwa.

Dia dituduh menipu pengurus dana Envysion Wealth Management dan CEOnya Shim Wai Han bernilai lebih S$48.9 juta antara September 2020 dengan Januari tahun ini, dan menguruskan kedua-dua syarikat itu "dengan niat untuk menipu", menurut kertas pertuduhan.

Buat masa ini, syarikat Ng berhutang sekurang-kurangnya S$1 bilion dengan para pelabur, menurut mahkamah pada Isnin.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) merujukkan syarikat-syarikat Ng kepada Jabatan Ehwal Komersial (CAD) pada November lalu, dedah polis dalam kenyataan medianya.

Antara Oktober 2017 hingga Februari 2021, EAM dan EGT dipercayai mengumpul lebih S$1 bilion daripada para pelabur untuk "membiayai aktiviti-aktiviti perdagangan nikel", menurut polis. Para pelabur dijanjikan pulangan yang berbeza-beza, dengan purata 15 peratus bagi setiap tiga bulan.

Sekitar S$700 juta dibayar kepada para pelabur dan S$300 juta dipindahkan ke akaun peribadi Ng, mahkamah diberitahu. Lagi S$200 juta masih tidak dapat dikesan. CAD merampas aset-aset, termasuk hartanah dan akaun bank, dari Ng bernilai S$100 juta.

Menurut MAS, ia sedang bekerjasama dengan CAD untuk mengenal pasti individu dan syarikat yang mungkin mengalami kerugian.

Ng akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 17 Mei, di mana lebih banyak tuduhan mungkin akan dikenakan terhadapnya oleh pihak pendakwa, menurut mahkamah.

Siasatan dan usaha untuk mendapatkan semula dana yang dilaburkan itu sedang dijalankan, menurut polis.

Jika didapati bersalah atas tuduhan menipu, Ng boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun bagi setiap kesalahan dan didenda. Atas setiap tuduhan melakukan perdagangan palsu, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan/atau didenda sehingga S$15,000.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan