Skip to main content

Singapura

Lelaki 33 tahun didakwa; serang Kamal Adli di Singapore Expo

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 33 tahun didakwa pada Selasa (14 Mac) berhubung kes di mana dia dituduh menyerang pelakon Malaysia, Kamal Adli, di Singapore Expo pada Ahad lalu.

Muhammad Nabil Rashid muncul di mahkamah daerah melalui video dari penjara, di mana dia direman. Dia berdepan satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya.

Nabil dituduh menggunakan cota yang boleh dipanjangkan untuk memukul kepala Kamal Adli atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli beberapa kali di Dewan 5A Singapore Expo pada sekitar 9.20 malam pada Ahad.

baton
(Gambar: SPF)

Ia sekali gus menyebabkan Kamal mengalami luka sepanjang 3 sentimeter (cm) di bahagian belakang kepalanya, menurut kertas pertuduhan.

Nabil akan direman di Institut Kesihatan Mental (IMH) selama dua minggu bagi pemantauan psikiatri selepas Hakim Daerah Terence Tay meluluskan permohonan pihak pendakwa.

Semasa ditanya sama ada dia mahu berkata apa-apa di mahkamah, Nabil, yang tidak diwakili peguam, berkata tidak. Dia memakai kemeja-T berwarna hitam dan kepalanya dibotakkan.

Dia akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 28 Mac.

Polis menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang serangan berkenaan pada sekitar 9.20 malam pada Ahad di 1 Expo Drive. Sebatang cota juga dirampas.

Kamal Adli dan isterinya, pelakon Uqasha Senrose berada di Singapura bagi acara Hari Raya Mega Sale 2023, anjuran MegaXpress International, di Singapore Expo.

Insiden tersebut berlaku semasa pasangan itu beramah mesra dengan peminat untuk sesi bergambar.

Petikan gambar dari Instagram Story Uqasha Senrose memaparkan suaminya, pelakon Kamal Adli, selepas diserang seorang lelaki tidak dikenali di Singapore Expo pada 12 Mac 2023. (Gambar: Uqasha Senrose/Instagram)
Kamal dan Uqasha diijabkabul pada Jumaat (5 Nov) di sebuah lokasi yang dirahsiakan di Janda Baik, Pahang. (Gambar: @kamaladli/Instagram)
Mereka sedang mengambil gambar apabila seorang lelaki bertanya di mana Kamal. Mereka menyangka lelaki itu adalah seorang peminat.

Lelaki itu kemudian mengeluarkan cota lalu "memukul Kamal beberapa kali di bahagian belakang kepala", kata Uqasha.

Sesiapa yang menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda, disebat atau gabungan mana-mana hukuman itu.
Sumber : CNA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita