Skip to main content

Singapura

Lelaki 33 tahun didakwa ganggu ketenteraman awam, disiasat kerana hambur kata berbaur perkauman dan sebabkan kecederaan

Seorang lelaki berusia 33 tahun akan didakwa di mahkamah pada Sabtu (3 Jul) atas kesalahan membuat kacau di Taman East Coast.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 33 tahun didakwa ganggu ketenteraman awam, disiasat kerana hambur kata berbaur perkauman dan sebabkan kecederaan

Gambar hiasan. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 03 Jul 2021 03:09PM Dikemas Kini : 03 Jul 2021 03:11PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 33 tahun akan didakwa di mahkamah pada Sabtu (3 Jul) atas kesalahan membuat kacau di Taman East Coast.

Polis pada Sabtu menyatakan bahawa "warga Singapura berketurunan India" itu akan didakwa "untuk mendapat perintah reman di mahkamah bagi penilaian psikiatri".

Lelaki itu juga akan disiasat atas kesalahan meluahkan kata-kata dengan niat mengguris perasaan kaum sesiapa, sengaja menyebabkan kecederaan dan membuat kacau, menurut polis dalam satu kenyataan media.

Polis menyatakan mereka menerima panggilan meminta bantuan di Tempat Letak Kereta F2 di Taman East Coast pada pukul 1.50 pagi pada Jumaat.

Siasatan awal mendedahkan bahawa lelaki itu didakwa menghamburkan 'kata-kata berbaur perkauman' ke arah "dua kumpulan lelaki Cina berbeza" dan menyerang salah seorang daripada mereka, menurut polis.

Suspek tidak lagi berada di tempat kejadian apabila polis tiba, namun dia kemudian dikenal pasti dan ditangkap. Seorang lelaki berusia 21 tahun dibawa ke hospital dalam keadaan sedar dan diberi rawatan pesakit luar.

Polis menyatakan bahawa ia akan mengambil "tindakan tegas" terhadap mereka yang melakukan perbuatan yang menggugat keharmonian kaum di Singapura.

Kesalahan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman untuk melukai hati seseorang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan menyebabkan gangguan awam membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda sehingga S$2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali manakala sesiapa yang didapati bersalah dengan sengaja menyebabkan gangguan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita