Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 31 tahun dipenjara 17 minggu kerana tumbuk berkali-kali pemandu teksi hingga hidungnya patah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Selepas semalaman keluar minum minuman keras, Muhammad Taleb Kishen menahan seorang pemandu teksi dan menumbuknya beberapa kali, mengakibatkan hidung mangsa patah manakala muka, lengan serta dadanya lebam.

Lelaki 31 tahun tersebut, dalam satu kejadian berasingan juga melontarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai polis selama 10 minit. Dia dijatuhi hukuman penjara 17 minggu pada Isnin (10 Okt).

Lelaki Singapura itu mengaku bersalah terhadap satu tuduhan menyebabkan kecederaan teruk secara sengaja dan menggunakan kata-kata kesat terhadap kakitangan awam.

Mahkamah diberitahu bahawa pada 1 Januari 2020, sekitar 2.30 pagi, Taleb meninggalkan Zouk, sebuah kelab malam di Clarke Quay, bersama rakannya Koh Liang Cai, 29 tahun, isteri Koh dan rakan-rakan yang lain.

Apabila Koh ternampak sebuah teksi di River Valley Road, dia memanggil Taleb dan isterinya ke teksi dan meminta pemandu tersebut untuk menghantar isterinya pulang ke rumah.

Apabila pemandu teksi itu enggan, Koh menumbuk pemandu teksi tersebut.

Taleb kemudian menahan pemandu teksi itu, membolehkan Koh menumbuk lelaki itu sekali lagi di belakang kepalanya sebelum Taleb menumbuk muka pemandu itu berkali-kali.

Taleb kemudian mencekiknya sehingga polis tiba.

Koh sudah meninggalkan tempat itu ketika polis tiba dan dijadual untuk mengaku bersalah akhir bulan ini.

Siasatan mendapati tumbukan oleh Koh mencederekan pemandu teksi itu, manakala perbuatan Taleb menyebabkan hidung pemandu tersebut patah, selain kecederaan lain.

Pemandu itu diberi cuti hospital selama tujuh hari dan sembilan cuti pesakit luar. Taleb membayar penuh yuran perubatannya berjumlah S$1,101.

Dalam satu kejadian berasingan pada 2 Disember 2019, Taleb menggunakan kata-kata kesat selama 10 minit terhadap seorang pegawai polis selepas dia ditangkap. Dokumen mahkamah tidak menyatakan sebab dia ditangkap.

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan teruk secara sengaja, Taleb boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun dan didenda atau disebat.

Dia boleh dipenjara sehingga setahun atau didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali, kerana menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang kakitangan awam.
Sumber : Today/AE/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan