Skip to main content

Singapura

Lelaki 31 tahun didakwa atas tuduhan edar pod vape dibubuh etomidate

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 31 tahun didakwa atas tuduhan edar pod vape dibubuh etomidate

Sebanyak dua vape dan 94 pod vape dirampas semasa pemeriksaan ke atas kereta suspek. (Gambar: Penguasa Sains Kesihatan)

Diterbitkan : 19 Aug 2026 04:11PM
SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mendakwa seorang lelaki berusia 31 tahun atas tuduhan mengedar pod vape yang mengandungi etomidate, menurut agensi itu pada Rabu (19 Ogos).

Jovan Tan Jun Yuan didakwa di mahkamah pada 12 Ogos di bawah Akta Kawalan Tembakau dan Vape 1993. Kes itu disebut semula di mahkamah pada Rabu (19 Ogos) dan ditangguhkan hingga 28 September.

Pada 10 Ogos, Tan dipercayai ditemui dengan dua vape dan 94 pod vape apabila pegawai Polis Trafik menggeledah kereta sewanya selepas kenderaan itu terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah teksi.

Pegawai HSA dimaklumkan mengenai kejadian itu dan mengambil alih barangan yang dirampas di tempat kejadian.

Tan ditangkap oleh Polis Trafik dan diserahkan kepada HSA untuk membantu siasatan.

Ujian air kencing segera mendapati Tan positif etomidate dan dia mengaku menghisap vape yang mengandungi etomidate pada pagi sebelum kemalangan itu. Dia kemudian direman selama seminggu.

Ujian makmal mengesahkan pod vape yang dirampas mengandungi etomidate.

“Satu vape dan satu pod yang dirampas adalah untuk kegunaan peribadi suspek. Baki barangan itu dipercayai untuk dibekalkan,” menurut HSA.

Siasatan terhadap kesalahan berkaitan pengedaran vape dan etomidate masih dijalankan. Tan juga sedang membantu siasatan Polis Trafik di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya 1961.

HSA menyatakan ia memandang serius kesalahan berkaitan pengedaran vape dan etomidate.

Di bawah Akta Kawalan Tembakau dan Vape 1993, etomidate dan bahan seumpamanya disenaraikan sebagai bahan psikoaktif yang ditetapkan.

Jika sabit kesalahan, pengimport boleh dihukum penjara antara tiga hingga 20 tahun dan disebat antara lima hingga 15 kali, manakala pembekal boleh dihukum penjara antara dua hingga 10 tahun dan dikenakan antara dua hingga lima sebatan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita